16 Mac 2023, 12:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Fakulti Sains Kesihatan dan Teknologi, Universiti Bunkyo Gakuin (BGU), Jepun telah menambah nilai kepada kedua-dua buah universiti ini dalam melahirkan graduan dan ilmuwan yang bertaraf antarabangsa.

Majlis menandatangani MoU ini dijalankan secara dalam talian yang dipengerusikan oleh wakil dari BGU, Encik Kosuke Tanaka. MoU berkenaan ditandatangani oleh Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar dan Pensyarah Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCh), FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib bersama-sama Presiden BGU, YBrs. Profesor Takashi Sakurai dan Dekan BGU, YBrs. Profesor Dr. Hitomi Kamisaku.

Para pensyarah, klinisian dan pelajar dari FSK, UKM dan BGU.

Melalui jalinan kerjasama telah bermula sejak tahun 2014 ini, pelbagai program antarabangsa dapat dijalankan seperti program pertukaran pelajar, persidangan dan sesi perkongsian ilmu. Selain itu, MoU ini juga mampu menambah jaringan dalam pengembangan aktiviti penyelidikan dan inovasi.

“Kami sangat teruja dan tidak sabar untuk mengenali budaya di negara ini selain menambah jaringan dalam penyelidikan,” kata pensyarah dari BGU, YBrs. Profesor Madya Dr. Shobo yang mengiringi para pelajarnya ketika mengikuti program pertukaran pelajar ke Malaysia.

Para pelajar dari BGU melawat ke Makmal Terapi Cara Kerja, FSK, UKM.

Sejak itu, program pertukaran pelajar, terutamanya dalam bidang fisioterapi dan terapi cara kerja telah dijalankan dengan giat bagi mendedahkan pelajar kepada budaya dan masyarakat di kedua-dua buah negara sekali gus dapat mempelajari ilmu bidang sains kesihatan dengan lebih mendalam.

“Program pertukaran pelajar ini membolehkan para pelajar mengenali dan memahami budaya masyarakat di Malaysia serta dapat bertukar pendapat antara satu sama lain,” ujar salah seorang pelajar dari BGU.

Para pelajar dari BGU berpeluang mengunjungi Klinik Fisioterapi, FSK, UKM semasa program pertukaran pelajar.

Pada tahun ini, sebanyak sembilan orang pelajar dan dua orang pensyarah dari BGU mengikuti program pertukaran pelajar ke FSK, UKM, manakala 19 orang pelajar dari UKM telah berjaya dihantar ke BGU bagi program yang sama.

Melalui program ini juga, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti lawatan ke beberapa buah pusat rehabilitasi di Malaysia serta menghadiri siri wacana ilmu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.