3 Mac 2023, 15:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertemuan kali pertama antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dengan Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, TYT Brian D. McFeeters di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur, baru-baru ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pertanian sekali gus membincangkan isu sekuriti makanan dan kerjasama teknikal yang boleh dilaksanakan.

Menurut YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, beliau menyatakan bahawa isu yang menjejaskan sekuriti makanan di Malaysia adalah antara isu global yang turut menjejaskan negara lain. Susulan itu, bagi meningkatkan penghasilan makanan melalui penggunaan teknologi pintar dan kecerdasan buatan, kerjasama antara kedua-dua negara ini adalah penting.

Ujar beliau, Amerika Syarikat menyatakan komitmennya dengan menawarkan pelbagai program latihan jangka pendek dan jangka panjang dalam bidang pertanian. Pada masa yang sama, negara yang merupakan rakan dagang pertanian berpotensi tinggi ini bersedia untuk memperkukuh kerjasama perdagangan dalam sektor pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.

Untuk rekod, sepanjang tempoh Januari 2022 hingga November 2022,  terdapat peningkatan nilai dagangan pertanian antara Malaysia dengan Amerika Syarikat, iaitu sebanyak RM13.24 bilion berbanding dengan RM12.55 bilion pada tahun 2021.

Turut hadir dalam sesi pertemuan ini ialah pegawai kanan KPKM dan para pegawai dari Kedutaan Besar Amerika Syarikat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.