Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universitas Jenderal Achmad Yani (UNJANI) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan dengan kerjasama dalam bidang pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam, semalam.

Menurut Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, pemeteraian MoU ini akan menggalakkan dan merangsang kerjasama dalam bidang perubatan serta disiplin lain yang mempunyai kepentingan bersama. Perkongsian ini juga akan menggalakkan mobiliti kakitangan dan pelajar UiTM melalui pelbagai program bersama-sama UNJANI dan sebaliknya.

Jelas beliau lagi, pemeteraian MoU ini disifatkan kritikal dan tepat pada masanya kerana kedua-dua UiTM dan UNJANI berminat untuk bekerjasama dan komited ke arah mencapai matlamat dalam mengejar pengantarabangsaan pendidikan melalui usaha mempromosi dan menerajui pembangunan intelek serta modal insan.
Melalui pemeteraian MoU antara kedua-dua universiti, UiTM selangkah lebih dekat untuk memetakan universiti di mata dunia dan mengubah UiTM menjadi sebuah universiti yang terkenal pada peringkat global menjelang tahun 2025.
Susulan itu, perkongsian strategik ini juga dipercayai dapat memanfaatkan daya saing global universiti dalam membangunkan program akademik dan latihan yang inovatif.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Rektor UNJANI, YBrs. Profesor Hikmahanto Juwana dan Dekan Fakulti Perubatan UiTM, YBrs. Profesor Dr. Fazah Akhtar Hanapiah.