Diterbitkan pada 2 Mac 2023, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berganding bahu dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan agensi yang berkaitan untuk meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap tenaga agar dapat menyumbang kepada kelestarian industri tenaga negara.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, “Inisiatif Malaysia Energy Literacy Program (MELP) yang dilancarkan adalah bertujuan memupuk rakyat Malaysia mengenai pentingnya tenaga dan peranan mereka dalam pengurusan tenaga.

Apabila kita dapat meningkatkan pengetahuan, kita mampu untuk bertindak balas menggunakan tenaga dengan lebih cekap, menyumbang kepada kemampanan tenaga, menjaga alam sekitar dengan lebih baik dan bergerak ke arah masa hadapan yang lebih mampan, terutamanya untuk generasi akan datang.

Tambahnya, melalui pelaksanaan MELP, usaha bersepadu boleh diatur untuk mewujudkan pelbagai program yang lebih berkesan dalam membentuk masyarakat peka tenaga sekali gus memupuk manusia bertamadun yang mempunyai nilai madani.

Dengan adanya usaha seumpama ini, rakyat dapat menghayati kepentingan peranan yang boleh mereka lakukan untuk menyumbang kepada peralihan tenaga bagi menuju negara neutral karbon. Selain itu, rakyat juga perlu didedahkan dengan pelbagai inisiatif dalam peralihan tenaga dan kepentingannya bagi menangani kesan perubahan iklim.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, YBhg. Dato’ Indera Ir. Baharin Din, TNB akan menganjurkan Persidangan Peralihan Tenaga yang memberikan tumpuan kepada tenaga, perbandaran dan pengangkutan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ogos 2023.

Persidangan ini menghimpunkan para pemimpin pemikiran antarabangsa, pakar, peneraju industri, penggubal dasar dan komuniti berkaitan yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai 24 Ogos 2023 bagi membincangkan cabaran peralihan tenaga.

Jelas beliau lagi, Persidangan Peralihan Tenaga dan MELP mempunyai kaitan rapat sebagai suatu platform yang menyediakan perkongsian maklumat penyelesaian teknologi mampan dalam usaha mempercepatkan pacuan peralihan tenaganya yang bertanggungjawab.

Menurutnya, tumpuan kepada peralihan tenaga akan memesatkan lagi transformasi digital pelanggan untuk menerapkan gaya hidup yang mampan serta pintar selaras dengan kehendak dan keperluan masyarakat.

TNB sendiri mempercepatkan pacuan peralihan tenaga secara bertanggungjawab dengan meningkatkan nilai perusahaan bisnes penjanaan TNB, meluaskan pasaran tenaga boleh baharu (TBB), memperkasakan grid dan membangunkan ekosistem kenderaan elektrik (EV).

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa inisiatif hala tuju kehidupan lestari pada masa hadapan itu adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menjadi agenda sejagat dengan melindungi bumi serta mewujudkan keseimbangan ekonomi, sosial dan alam sekeliling.

Untuk makluman, konsep MELP mula dibangunkan oleh TNB sejak tahun 2020 melalui pelbagai kempen bijak tenaga dalam kalangan rakyat, termasuklah generasi muda pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi serta masyarakat pengguna melalui kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Bersempena dengan pelancaran MELP ini, TNB turut mempamerkan Gallery Walk yang bertemakan Together with the Nation through Energy Transition yang mencakupi keseluruhan rantaian ekosistem tenaga dengan paparan peralihan tenaga dan hala tuju kelestarian, kecekapan tenaga serta TBB di samping ekosistem EV.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi