1 Mac 2023, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kunjungan hormat Duta Besar Turkiye di Malaysia, TYT Emir Salim Yuksel di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur baru-baru ini adalah untuk membincangkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian, terutamanya dalam bidang pertanian moden dan penyelidikan pertanian.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menyatakan bahawa selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan, Malaysia dan Turkiye bersedia untuk memperkukuhkan kerjasama perdagangan dalam bidang pertanian.

Dalam pertemuan ini, Turkiye menawarkan sumber daging, ayam dan produk ayam, madu serta buah-buahan untuk dieksport ke Malaysia. Bagi membantu industri pertanian Malaysia, Turkiye juga bersedia untuk berkongsikan kepakarannya dalam bidang teknologi pertanian moden dan mekanisasi.

Pada masa yang sama, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu turut menyatakan rasa simpati susulan bencana gempa bumi yang melanda Turkiye, manakala Turkiye turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Malaysia atas bantuan misi mencari dan menyelamatkan mangsa gempa bumi di negara tersebut.

Untuk makluman, Turkiye ialah rakan dagang pertanian yang berpotensi tinggi untuk Malaysia. Berdasarkan rekod, perdagangan dalam sektor pertanian antara Malaysia dengan Turkiye adalah berjumlah RM6.14 bilion bagi tempoh Januari 2022 hingga November 2022.

Turut hadir dalam sesi pertemuan ini ialah Ketua Setiausaha KPKM dan pegawai kanan KPKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.