Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangWisma Tani – Selaras dengan amanat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu bagi memperkasakan industri akuakultur yang termasuk dalam lima fokus utama KPKM selain memenuhi keperluan sumber protein rakyat Malaysia, program Jelajah Perikanan “Rasa-rasa Akuakultur” telah diadakan semalam bagi mempromosikan dan menggalakkan masyarakat dalam pengambilan ikan akuakultur sebagai hidangan harian.
Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), jabatan akan memfokuskan pengeluaran akuakultur sebanyak 30 peratus komoditi ikan serta rumpai laut menjelang tahun 2025.
Tilapia, patin dan siakap adalah antara spesies utama yang diberikan fokus dalam penternakan akuakultur. Jumlah pengeluaran bagi ketiga-tiga spesies ini adalah sebanyak 65 625.11 tan metrik sekali gus menyumbang sebanyak 16 peratus kepada jumlah pengeluaran akuakultur pada tahun 2021.
Selain itu, ketiga-tiga spesies ini menyumbang sebanyak 30 peratus dengan nilai RM1.027 bilion bagi nilai harga borong. Komoditi lain seperti udang putih, udang galah dan rumpai laut pula akan terus diberikan perhatian bagi membolehkan komoditi ini menembusi pasaran luar negara.
Menurut Timbalan Menteri KPKM, YB Chan Foong Hin, menerusi pemerkasaan industri akuakultur ini diharapkan rakyat Malaysia dapat menjadikan ikan akuakultur sebagai menu pilihan harian selain ikan laut. Beliau juga menyatakan bahawa ikan air tawar tetap menyumbang protein sumber ikan yang diperlukan oleh manusia.
Sebanyak lapan orang usahawan diundang khas bagi sesi jualan produk akuakultur dalam program ini. Para usahawan diberikan peluang untuk menawarkan produk masing-masing pada harga yang menarik. Pada masa yang sama, DOF juga mengundang usahawan bimbingan jabatan dengan pelbagai variasi produk akuakultur marin dan akuakultur air tawar bagi memberikan peluang kepada orang ramai mendapatkan produk akuakultur dengan harga yang berpatutan.
Program Jelajah Perikanan “Rasa-rasa Akuakultur” yang dijalankan di seluruh negara ini dapat membantu dan menyokong pembangunan pelbagai produk hiliran akuakultur, meningkatkan pengeluaran dan permintaan kepada industri akuakultur, menambah pengeluaran ikan akuakultur serta menjana pendapatan penternak dan pengusaha produk berasaskan ikan.