Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKajang – Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat dan Taman Eko Langat yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dengan kos perbelanjaan sebanyak 1595 bilion telah dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad, hari ini.
“Pembinaan Langat Centralised Sewage Treatment Plant (CSTP) dan Penyambungan Rangkaian Paip Pembetungan di kawasan tadahan lembangan Sungai Langat secara reka dan bina ialah satu daripada projek di bawah inisiatif dan komponen utama dalam perancangan pembangunan Greater KL, yakni di bawah River of Life Programme: Sewerage Non-River yang menggunakan teknologi rawatan deep aeration method with step-feed multi stage de-nitrification process dari Jepun,” jelas YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh NRECC.
Menurut beliau, projek ini mampu merawat aliran kumbahan sebanyak 207 000 meter padu sehari atau 920 000 orang penduduk setara yang merangkumi kawasan tadahan seluas 77.6 kilometer persegi meliputi kawasan Cheras Batu 11, Cheras Jaya, Desa Baiduri serta Kajang Satu dan Kajang Tiga.
Beliau juga menyatakan bahawa aliran kumbahan daripada loji yang ditutup sebanyak 152 buah di kawasan pembetungan Langat ini disambungkan ke sistem rangkaian paip pembetungan baharu yang dibina sepanjang 108 kilometer melalui 12 unit stesen pam.
Projek ini juga bertujuan untuk meningkatkan liputan perkhidmatan pembetungan yang berkualiti serta membantu memulihara kualiti air di Sungai Langat melalui pelepasan efluen terawat yang mematuhi Akta Kualiti Sekeliling 1974, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekitar (Kumbahan) 2009 sebelum dilepaskan ke Sungai Langat.
Tambah beliau, loji yang terletak di Kampung Sungai Balak, Kajang Selangor ini dilengkapi dengan pelbagai fasiliti sukan dan rekreasi yang dikenali sebagai Taman Eko Langat dan dibina di atas loji kumbahan tersebut. Antara kemudahannya adalah dilengkapi dengan kemudahan riadah, sukan dan pusat komuniti termasuklah 16 gelanggang badminton, dua gelanggang sepak takraw, dua gelanggang bola keranjang, dua gelanggang futsal, satu kawasan permainan kanak-kanak dan sebuah dewan komuniti.
Infrastruktur yang diinspirasikan berdasarkan pengalaman dan kejayaan Jepun ini turut memaksimumkan inisiatif teknologi hijau seperti penuaian air hujan, penggunaan semula efluen, penggunaan biogas dan tenaga solar.
Mengulas dengan lebih lanjut, beliau menjangkakan bahawa kos operasi dan penyelenggaraan operator pembetungan dapat dikurangkan dengan penyiapan projek mega ini susulan loji rawatan kumbahan yang kecil dan kurang efisien dinyahtauliahkan dan dirobohkan sekali gus mampu mengurangkan potensi pencemaran sungai dan menjamin kelestarian sumber air.
Sejajar dengan satu daripada Teras Strategik Utama Malaysia Madani, iaitu menjamin kesejahteraan insan, pelaburan besar yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah bagi memastikan perancangan penyediaan infrastruktur pembetungan yang moden dan efisien secara berperingkat di seluruh negara dalam mengutamakan keperluan rakyat, terutamanya dalam mengakses keperluan asas bagi menjalani kehidupan yang lebih produktif dan berlandaskan keadialan sosial.