Diterbitkan pada 21 Februari 2023, 15:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 2149 kes kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-7 tahun 2023 berbanding dengan 1967 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 182 kes (9.3 peratus). Pada masa yang sama, sebanyak empat kematian telah dilaporkan akibat komplikasi demam denggi pada minggu ini.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga kini adalah sebanyak 15 243 kes berbanding dengan 4950 kes bagi tempoh yang sama bagi tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 10 293 (207.9 peratus), manakala sebanyak 13 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding dengan satu kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.

Sebanyak 53 lokaliti kawasan panas (hotspot) berada di Selangor, 20 lokaliti kawasan panas di Sabah, empat lokaliti kawasan panas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (WPP) serta dua lokaliti kawasan panas di Pulau Pinang.

Sementara itu, sebanyak lapan kes survelan Chikungunya direkodkan pada minggu ini dengan empat kes dari Pulau Pinang, tiga kes dari Selangor dan satu kes dari WPKL dan WPP, manakala jumlah kumulatif kes ini hingga kini ialah 94 kes.

Bagi survelan Zika pula, sebanyak 328 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan Zika dan hasilnya menunjukkan negatif bagi semua sampel tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, “Orang ramai tidak seharusnya alpa apabila melakukan pelbagai aktiviti sama ada aktiviti beriadah dan kegiatan rekreasi bersama-sama rakan atau keluarga kerana berkemungkinan waktu kegiatan ini dilakukan adalah serentak dengan waktu puncak gigitan nyamuk Aedes, iaitu antara pukul enam pagi hingga lapan pagi dan pukul enam petang hingga lapan malam.”

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar memakai pakaian yang berwarna cerah dan menutup anggota badan serta menggunakan bahan penghalau nyamuk ketika melakukan aktiviti luar, terutamanya pada waktu puncak gigitan nyamuk Aedes.

Jelas beliau lagi, inisiatif lain bagi membebaskan diri daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes adalah dengan melupuskan sampah di tempat yang telah ditentukan.

Dapatkan rawatan awal sekiranya mengalami gejala demam denggi seperti demam tinggi secara tiba-tiba, sakit otot atau sakit sendi, sakit kepala dan sakit pada belakang mata. Jika terdapat tanda bahaya demam denggi pula, misalnya muntah, cirit-birit atau perdarahan, segeralah dapatkan rawatan lanjut.

Untuk makluman, orang awam boleh mendapatkan status situasi denggi bagi tempat yang akan dilawati melalui laman sesawang iDengue atau melalui aplikasi iDengue yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi