Diterbitkan pada 19 Februari 2023, 21:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hutan Melintang – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) komited membantu kumpulan sasar seperti nelayan laut dan penternak akuakultur untuk terus menyumbang kepada keterjaminan bekalan makanan berasaskan ikan.

Susulan itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu telah mengadakan lawatan ke kilang pembuatan makanan, QL Foods untuk melihat operasi penghasilan produk makanan sumber laut.

Sumber perikanan adalah antara keperluan penting bagi rakyat dan permintaan makanan berasaskan sumber laut ini sentiasa meningkat seiring dengan populasi penduduk Malaysia.

Semasa lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan bantuan Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) dan Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND). Pengagihan bantuan PPSPA sebanyak RM265 661 diberikan kepada 28 penerima yang terkesan akibat bencana banjir, manakala ESHND pula disasarkan kepada 3320 orang penerima elaun nelayan darat dengan peruntukan berjumlah RM2 515 000 bagi memastikan keterjaminan makanan dalam sektor perikanan darat.

Pada masa yang sama, bantuan input peralatan akuakultur 2022 sebanyak RM2 875 150 turut diagihkan kepada 490 orang penternak dan sebanyak RM210 000 pula diagihkan bagi Bantuan Insentif Peningkatan Kemudahan Biosekuriti Perikanan.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM174 520 di bawah program MAFS PRIHATIN turut diagihkan bagi menghargai sumbangan Ketua Jaringan Perikanan sepanjang penggal 2021-2023. Sebanyak 1031 orang ahli telah menerima empat jenis peralatan keselamatan, iaitu ves keselamatan, alat pertolongan cemas, lampu suluh jenis kalis air dan topi. Bantuan peralatan keselamatan nelayan juga telah diagihkan semasa sesi libat urus bersama-sama Persatuan Nelayan Kawasan Hilir Perak.

YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkata, “Bantuan yang disampaikan diharapkan dapat membantu pihak yang terkesan akibat banjir untuk bangkit semula. Bantuan ini juga membuktikan bahawa keprihatinan MAFS bagi meringankan bebanan mereka dalam menghadapi tekanan ekonomi disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup, pembasmian kemiskinan dan peningkatan pendapatan melalui projek ekonomi berkaitan dengan akuakultur dan komuniti perikanan darat.”

Jelas beliau lagi, bantuan ini juga diharapkan dapat mempertingkatkan sosioekonomi dan daya saing komuniti perikanan melalui pelbagai bantuan yang disediakan seperti insentif bantuan dalam bentuk peralatan mesin dan kemudahan fasiliti yang meliputi seluruh pengusaha yang terlibat dalam rantaian bekalan industri perikanan termasuklah penternak akuakultur, usahawan perikanan dan nelayan darat.

Bantuan yang bernilai RM6 040 331 yang disalurkan bukan sahaja perlu dimanfaatkan oleh penerima dengan sebaik-baiknya, malah sebagai galakan kepada penerima yang terkesan akibat musibah banjir.

Mengulas dengan lebih lanjut, beliau juga menasihatkan DOF agar sentiasa bersedia dalam memberikan bantuan teknikal bagi membolehkan golongan sasar dapat meneruskan perusahaan mereka sekali gus memastikan sumber makanan negara terjamin dan mencukupi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi