Diterbitkan pada 17 Februari 2023, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia dan Singapura bersedia untuk bekerjasama dan memberikan komitmen bagi memperkukuh perdagangan dua hala dalam bidang pertanian seiring dengan matlamat untuk menjamin sumber bekalan makanan yang mampan dan berterusan.

Berdasarkan satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) hari ini, antara perkara yang dibincangkan semasa kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura, TYT Vanu Gopala Menon ke Malaysia di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur adalah berkenaan dengan kepentingan membangunkan pertanian moden dan aplikasi teknologi pintar dalam sektor pertanian.

Menteri MAFS, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkata, “Kestabilan bekalan makanan ialah satu daripada isu global yang perlu ditangani oleh Malaysia bersama-sama Singapura.”

Menurut beliau, pertemuan ini adalah penting bagi membincangkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara dalam sektor pertanian, terutamanya berkaitan dengan perdagangan agromakanan.

Dalam pertemuan itu juga, Malaysia juga mempelawa Singapura untuk bersama-sama meningkatkan bekalan makanan melalui pelaburan dalam sektor pertanian moden di Malaysia.

Singapura yang merupakan rakan dagang pertanian yang penting bagi Malaysia pula bersedia untuk berkongsikan teknologi dan kepakarannya dalam bidang pertanian pintar.

Untuk makluman, nilai perdagangan dalam sektor pertanian antara Malaysia dengan Singapura adalah berjumlah RM15.99 bilion dari Januari 2022 hingga Oktober 2022.

Turut hadir dalam sesi pertemuan ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFS, YBhg. Datuk Azah Hanim Ahmad dan para pegawai kanan MAFS serta wakil Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura di Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi