Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) membolehkan pengguna membuat tuntutan terhadap pihak yang mencemarkan bekalan air seterusnya mampu mengekang dan menangani masalah pencemaran air.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), YB Nik Azmi Nik Ahmad menyatakan bahawa kementeriannya menyasarkan pindaan akta ini dapat dibentangkan di Parlimen pada Jun 2023.
Pindaan akta ini melibatkan beberapa seksyen, iaitu peningkatan tempoh hukuman dan kadar denda ke atas tindakan yang berisiko menyebabkan pencemaran kepada mana-mana alur air atau sistem bekalan air. Pindaan melibatkan peningkatan denda daripada RM100 000 kepada RM10 juta, manakala hukuman penjara dinaikkan daripada setahun kepada 15 tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, pindaan juga melibatkan penyenaraian kesalahan baharu seperti apa-apa perbuatan yang menyebabkan atau yang berkemungkinan menyebabkan penutupan sistem bekalan air atau gangguan bekalan air kepada pengguna serta melepaskan apa-apa kumbahan, efluen, benda atau bahan ke dalam mana-mana pukat.
Katanya lagi, pindaan tersebut juga membolehkan pemegang lesen perkhidmatan air menuntut semula kos bagi memulihkan sistem bekalan air yang telah dicemari daripada pihak yang didapati bersalah yang menyebabkan pencemaran air.
NRECC juga akan meneruskan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) bagi menangani kejadian pencemaran secara berkesan.
Menurut beliau, pindaan akta tersebut akan dijalankan secara berfasa, iaitu melibatkan elemen kompaun dan penalti bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap pelaku dan pesalah yang menyebabkan pencemaran alam sekitar dalam Fasa Pertama. Pindaan Fasa Pertama ini sedang dimurnikan dan dijangkakan akan dibentangkan di Parlimen pada suku tahun keempat tahun ini.
Pindaan Fasa Kedua yang memperkasakan Akta 127 secara menyeluruh masih diperhalusi dan diteliti bersama-sama pakar undang-undang dan alam sekitar. Berdasarkan penelitian kementerian, draf pindaan Fasa Kedua perlu melibatkan sesi libat urus bersama-sama pihak berkepentingan dan pemegang taruh yang berkaitan seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak penggerak projek pembangunan dan pihak industri agar dapatannya adalah lebih terperinci.
Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan bahawa kerajaan juga sedang melaksanakan beberapa pendekatan bukan struktur bagi memberikan pendidikan dan kesedaran awam tentang kelestarian sungai serta memastikan kualiti air sungai terjamin.
Pendekatan yang dilaksanakan termasuklah Program Pembangunan Denai Sungai Kebangsaan, sambutan Hari Air dan Hari Sungai, Rakan Alam Sekitar, sambutan Hari Alam Sekitar, aktiviti pembersihan sungai dan sebagainya yang bertujuan untuk menonjolkan kepentingan sungai sebagai sumber air.
Susulan itu, tindakan bersepadu daripada semua pihak diperlukan dalam menangani isu pencemaran air secara berkesan, terutamanya peranan kerajaan negeri memandangkan sumber air terletak di bawah bidang kuasanya. Kerajaan negeri pula berperanan penting dalam mengawal pembangunan kawasan yang berhampiran dengan sumber air, melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa tempatan juga memainkan peranan bagi mencegah pencemaran terhadap sumber air daripada air basuhan seperti dari medan selera, rumah penyembelihan, bengkel cuci kereta dan sebagainya.