Diterbitkan pada 13 Februari 2023, 12:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dua produk kosmetik telah dikenal pasti mengandungi racun berjadual (merkuri) oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu produk Karisma Turmeric Booster Cream dan Flashhskinzz Treatment Cream. NPRA ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk berkenaan bagi menghindari kesan sampingan yang memudaratkan.

Oleh yang demikian, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM telah membatalkan notifikasi produk kosmetik tersebut dan kedua-dua produk ini tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan media, merkuri boleh diserap masuk ke dalam badan dan mampu merosakkan buah pinggang serta sistem saraf.

Selain itu, bahan beracun ini juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil ataupun yang belum dilahirkan. Pada masa yang sama, merkuri juga boleh mengakibatkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Penjualan dan pengedaran kedua-dua produk ini hendaklah dihentikan dengan serta-merta kerana telah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Menurut beliau, hukuman denda tidak melebihi RM25 000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan kepada individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini bagi kesalahan pertama, manakala hukuman denda tidak melebihi RM50 000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dikenakan terhadap individu yang melakukan kesalahan berikutnya.

Sementara itu, bagi syarikat yang melakukan kesalahan ini pula boleh dikenakan denda hingga RM50 000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100 000 untuk kesalahan yang seterusnya.

Orang awam yang menggunakan produk ini dinasihatkan agar menghentikan penggunaannya serta-merta. Dapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan dengan segera jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Bagi memastikan keselamatan penggunaan sesuatu produk itu, orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi produk yang ingin digunakan melalui laman sesawang rasmi NPRA atau menerusi aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi