Diterbitkan pada 30 Julai 2021, 15:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Anugerah Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) bagi tahun 2020 dan 2021 telah berlangsung secara dalam talian melalui pelantar Microsoft Teams, yang turut disiarkan secara langsung melalui Facebook Pusat Sains Matematik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 29 Julai 2021. Kali ini, UMP terpilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran majlis anugerah tersebut. Majlis Anugerah PERSAMA juga diadakan bersempena dengan Majlis Perasmian Penutup Simposium Kebangsaan Sains Matematik ke-28 yang bertemakan “Sains Matematik Wahana Pencetus Inovasi Sejagat”.

Pada tahun 2020, Anugerah PERSAMA tidak dapat diadakan ekoran pandemik COVID-19 yang menghalang aktiviti bersemuka. Maka itu, Anugerah PERSAMA pada kali ini menggabungkan penyertaan dan pemenang tahun 2020 dan 2021. Sebanyak 97 penyertaan bagi tahun 2020 dan 92 penyertaan bagi tahun 2021. Pencalonan untuk Anugerah PERSAMA meliputi tujuh kategori seperti Buku Karya Asli, Buku Karya Terjemahan, Makalah Ilmiah, Tesis Doktor Falsafah, Tesis Sarjana, Rencana Popular dan Reka Cipta.

Selaku penerbit yang tekal menerbitkan buku ilmiah dalam pelbagai bidang, termasuklah bidang sains dan matematik, Dewan Bahasa dan Pustaka berjaya meraih Hadiah Sanjungan bagi kategori Buku Karya Asli bagi tahun 2021, menerusi buku Mantik dan Sistem Nombor Nyata. Buku tersebut ditulis oleh pensyarah yang pernah berkhidmat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Dr. Maselan@Mazlan Ali.

Bagi kategori Buku Karya Asli, Hadiah Pemenang Utama diraih oleh Yusof Ahmad dengan bukunya, Structural Analysis Using Matrix Method, terbitan UTM Press. Sebanyak empat pemenang berjaya meraih Hadiah Sanjungan. Selain dimenangi oleh buku Mantik dan Sistem Nombor Nyata, Hadiah Sanjungan juga diberikan kepada buku Statistik Pentadbiran dan Analisis Data terbitan Universiti Malaysia Terengganu, hasil  tulisan Mohd Lazim Abdullah dan Aslina Nasir, dan buku Nanobendalir: Model Matematik dan Penyelesaian, terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, hasil Mohd Anuar Jamaludin dan Roslinda Mohd Nazar. Perincian lanjut pemenang Anugerah PERSAMA adalah seperti yang berikut:

Pemenang kategori Makalah Ilmiah

Pemenang Utama

“Radius of Starlikeness for Classes of Analytic Functions”, ditulis oleh Lee See Keong, Kanika Khatter, V. Ravichandran dalam Bulletin of the Malaysian Mathematical Sciences Society.

Hadiah Sanjungan

  1. “M-ambiguity Sequences for Parikh Matrices and Their Periodicity Revisited”, ditulis oleh Ghajendran Poovanandran dan Wen Chean The dalam Bulletin of the Malaysian Mathematical Sciences Society.
  2. “Ordered Discrete and Continuous Z-numbers”, ditulis oleh Tahir Ahmad dan Vinod Ramachandran dalam Malaysian Journal of Fundamental and Applied Sciences.
  3. “The Exterior Square of a Bieberbach Group with Quaternion Point Group of Order Eight” ditulis oleh Siti Afiqah Mohammad, Nor Haniza Sarmin dan Hazzirah Izzati Mat Kassim dalam ASM Science Journal.
  4. “MHD Squeezing Flow of Casson Nanofluid with Chemical Reaction, Thermal Radiation and Heat Generation/Absorption”, ditulis oleh Nur Azlina Mat Noor, Sharidan Shafie dan Mohd Ariff Admon dalam Journal of Advanced Research in Fluid Mechanics and Thermal Sciences.
  5. “Novel Random k Satisfiability for k ≤ 2 in Hopfield Neural Network”, ditulis oleh (Saratha Sathasivam, Mohd. Asyraf Mansor, Ahmad Izani Md Ismail, Siti Zulaikha Mohd Jamaludin, Mohd Shareduwan Mohd Kasihmuddin dan Mustafa Mamat dalam Sains Malaysiana.

Pemenang kategori Tesis Doktor Falsafah (PhD)

Pemenang Utama

“Convection Boundary Layer Flow Past a Moving Thin Needle in a Nanofluid with Stability Analysis”, ditulis oleh Siti Nur Alwani Salleh dari Universiti Putra Malaysia (UPM)

Hadiah Sanjungan

“Multistep Block Method for Solving Second and Third Order Boundary Value Problems With Robin and Mixed Type Boundary Conditions”, ditulis oleh Nadirah Mohd Nasir dari UPM.

Pemenang kategori Tesis Sarjana

Pemenang Utama

“Side Sensitive Group Runs Double Sampling Chart for Detecting Mean Shifts”, ditulis oleh Tan Eng Keng dari Universiti Sains Malaysia.

Pemenang kategori Rencana Popular

Pemenang Utama

“Perang Melawan COVID-19 Menggunakan Matematik: Model Sir”, ditulis oleh Nurul Farahain Mohammad dalam Majalah Sains.

Hadiah Sanjungan

  1. “Susur Galur Kerjaya dan Cabaran Seorang Ahli Statistik”, ditulis oleh Mohd Bakri Adam dalam Majalah Sains.
  2. “COVID-19: Dari Lensa Kelompok Kabur Facs”, ditulis oleh Tahir Ahmad, Azmirul Ashaari, Siti Rahmah Awang, Siti Salwana Mamat, Wan Munirah Wan Mohamad, Amirul Aizad Ahmad Fuad dan Nurfarhana Hassan dalam Malaysia Gazette.

Pemenang kategori Reka Cipta

Pemenang Utama

“Predictive Model for Pandemic Outbreaks: In Response to COVID-19” oleh Norazaliza Mohd Jamil, Norhayati Rosli dan Noryanti Muhammad dari UMP.

Hadiah Sanjungan

“Explore, Discover, Develop: Design Thinking and Creativity” oleh Haslinda Ibrahim, Masnita Misiran dan Norhayati Yusof dari Universiti Utara Malaysia.

Selama 20 tahun penganjurannya, Anugerah PERSAMA buat pertama kalinya diadakan secara dalam talian ekoran pandemik COVID-19. Menurut Presiden PERSAMA, Profesor. Dr. Maslina Darus, tahun ini merupakan tahun ke-21 penubuhan PERSAMA. Walaupun negara dilanda pandemik COVID-19, kajian dan wacana ilmu tidak terhenti. Komuniti sains dan matematik tetap giat mengadakan persidangan secara dalam talian. Malah Simposium Kebangsaan Sains Matematik Ke-28 yang berlangsung selama dua hari (28 hingga 29 Julai) berjaya menghimpunkan cendekiawan dari dalam dan luar negara bagi membentangkan hasil kajian terkini, lebih-lebih lagi penemuan baharu dan inovasi yang diterapkan dalam dua bidang tersebut, selain dapat meluaskan jaringan kerjasama.

Dalam ucapan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff pula, beliau mengakui simposium menjadi wahana penting dalam menyampaikan ilmu dan berkongsi penemuan baharu. Beliau turut menghargai penganjuran bersama simposium dan anugerah antara UMP dengan PERSAMA, yang merupakan usaha kolaboratif dan signifikan antara ahli akademik dan pakar dalam bidang sains dan matematik.

Yang turut hadir menyaksikan anugerah yang mengiktiraf hasil kerja komuniti intelektual bidang sains dan matematik secara dalam talian ialah Dekan Pusat Sains Matematik UMP, Profesor Dr. Mohd Zuki Salleh dan Pengerusi Simposium, Profesor Dr. Zulhibri Ismail, selain para peserta simposium dan pemenang Anugerah PERSAMA 2020 dan 2021.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi