Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSimpang Empat – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan simbolik Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Putra, hari ini.
Dalam majlis berkenaan, baginda bertitah bahawa usaha untuk mengakhiri AIDS bukanlah tugas yang mudah. Semua pihak berkepentingan, sama ada kerajaan mahupun badan bukan kerajaan perlu terus berganding bahu menangani isu stigma dan diskriminasi terhadap kumpulan individu yang hidup dengan virus imunodefisiensi manusia (HIV).
“Kita harus membantu dan menyokong mereka untuk hidup bersama-sama masyarakat tanpa ada rasa terpinggir. Di samping itu, penggunaan teknologi terkini haruslah dipertingkatkan bagi membolehkan akses kepada rawatan dan perkhidmatan HIV menjadi lebih mudah dan pantas,” titah baginda lagi.
Menurut DYTM Raja Muda Perlis, kunci utama untuk mencapai kejayaan dalam usaha ini adalah untuk memastikan tiada golongan berisiko seperti kanak-kanak, ibu mengandung, pekerja seks, penagih dadah dan penghuni penjara dipinggirkan daripada mendapat akses kepada perkhidmatan asas HIV yang merangkumi aspek pencegahan, rawatan dan pemulihan.

Hari AIDS Sedunia disambut pada 1 Disember setiap tahun. Pada tahun ini, tema yang dipilih ialah “Equalize: Kesaksamaan untuk kesihatan bagi mengakhiri AIDS”.
Pertubuhan Kesihatan Dunia juga menyeru semua pemimpin pada pelbagai peringkat dan masyarakat global untuk terus konsisten menyuarakan isu ketidaksamarataan yang akan terus menjadi penghalang kepada usaha WHO untuk mengakhiri penyakit AIDS menjelang tahun 2030.
Bersempena dengan program tersebut, DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Makmur, Kampung Bongor Kudung. Sumbangan tersebut akan diagihkan oleh amil masjid tersebut, Mohd Fitri Mohd Rodzi.
Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.