Diterbitkan pada 1 Disember 2022, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sambutan Hari AIDS Sedunia yang disambut pada setiap 1 Disember di seluruh dunia menjadi platform untuk memperbaharui komitmen dan tekad dalam usaha menangani jangkitan virus kurang daya tahan manusia (HIV) atau sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS).

Sambutan yang bertemakan “Equalize: Kesaksamaan untuk Kesihatan bagi Mengakhiri AIDS” pada tahun ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran berkenaan dengan jangkitan HIV, langkah pencegahan dan kawalan yang boleh dilakukan serta rawatan ke arah mengakhiri AIDS menjelang tahun 2030.

Secara umumnya, jangkitan baharu HIV atau AIDS di Malaysia telah mencatatkan penurunan sebanyak 70 peratus dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini. Liputan rawatan menggunakan ubat antiretrovirus (ARV) kepada individu yang hidup dengan HIV (ODHA) telah dipertingkatkan kepada 66 peratus pada tahun 2021 berbanding dengan 28 peratus pada tahun 2015.

Walau bagaimanapun, kadar penurunan kes HIV dan peningkatan liputan rawatan ini masih belum mencukupi untuk negara membendung penyakit AIDS sehingga tidak lagi menjadi isu kesihatan awam menjelang tahun 2030. Hal ini bermakna, ketidaksamaan masih menjadi penghalang kepada usaha yang dilaksanakan.

Oleh yang demikian, ketersediaan, kualiti dan kesesuaian perkhidmatan rawatan, ujian dan pencegahan HIV mestilah dipertingkatkan bagi memastikan kesaksamaan tersebut tercapai dan masyarakat mendapat perkhidmatan yang terbaik.

Dalam konteks ini, uji dan rawat HIV atau AIDS akan terus diperkukuh dengan memperkenalkan saringan HIV kendiri untuk menarik lebih banyak populasi kunci (kelompok masyarakat yang rentan terhadap penularan HIV) dan pasangan menjalani saringan dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Kini, perkhidmatan Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) Model KK 2.0 yang dilaksanakan di 31 buah klinik kesihatan dengan kerjasama pintar kerajaan-bukan kerajaan akan diperluaskan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan, khususnya kepada populasi kunci HIV.

Konsep U=U (U equal to U) atau Undetectable = Undetectable adalah antara pendekatan atau konsep penting dan terbukti berkesan dalam mengekang jangkitan HIV. ODHA yang mengambil ubat ARV mengikut jadual yang ditetapkan boleh hidup seperti individu normal yang tidak dijangkiti HIV. Hal ini dikatakan demikian kerana virus tidak lagi dikesan dan tidak menjangkiti individu lain.

Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus meningkatkan rawatan ARV dalam kalangan ODHA. Bagi pasangan kepada ODHA pula, rawatan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) akan dimulakan di klinik kesihatan pada tahun hadapan. Secara umumnya, rawatan PrEP ini mampu mengurangkan risiko sebanyak 99 peratus bagi seseorang itu dijangkiti HIV melalui hubungan seksual apabila diambil mengikut preskripsi yang telah ditetapkan.

Seterusnya, bagi mengekang isu stigma dan diskriminasi serta memastikan perkhidmatan HIV dan AIDS dapat diberikan dengan lebih mesra, program Pengurangan Stigma dan Diskriminasi melalui Pendekatan Peningkatan Kualiti telah dijalankan di fasiliti kesihatan. Program ini telah berjaya mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap ODHA dalam kalangan kakitangan kesihatan.

Pada masa ini, program tersebut telah diperluaskan kepada 55 buah fasiliti kesihatan di seluruh negara dan akan terus dipanjangkan ke semua fasiliti kesihatan pada masa akan datang. Anggota KKM juga akan dilatih dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik tanpa stigma dan diskriminasi dengan menggunakan modul HOPE: Hentikan Stigma dan Diskriminasi terhadap Orang yang Hidup dengan HIV atau AIDS (ODHA) dan Key Populations (KPs).

KKM menyeru semua pihak termasuklah sektor kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan, badan korporat, individu yang hidup dengan HIV dan masyarakat dapat terus mengeratkan jalinan kerjasama pintar dalam memperjuangkan usaha untuk menangani ketidaksamaan dalam HIV atau AIDS.

Sementara itu, ODHA dan populasi kunci HIV digalakkan untuk menjalani ujian saringan dan mendapatkan rawatan serta mengambil langkah yang sewajarnya dalam melindungi diri dan pasangan daripada dijangkiti penyakit ini. Masyarakat juga disarankan untuk menyertai pelbagai aktiviti yang telah dirancang dan dilaksanakan di seluruh negara sepanjang sambutan Hari AIDS Sedunia ini berlangsung.

Hal ini adalah penting bagi membolehkan masyarakat memahami dan mendalami penyakit HIV atau AIDS. Kerajaan akan terus menerajui kepimpinan dan memberikan komitmen yang penuh dalam agenda negara bagi menangani penularan HIV atau AIDS serta merealisasikan kesaksamaan ke arah matlamat untuk mengakhiri AIDS menjelang tahun 2030.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi