Diterbitkan pada 28 Oktober 2022, 11:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha menyemarakkan lagi minat anak muda terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), Persatuan STEM Kebangsaan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Pertandingan Teater STEM. Pertandingan ini telah dijalankan sejak berbulan-bulan lamanya di seluruh negara sehinggalah peringkat akhir pertandingan yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, semalam.

Majlis penutupan Pertandingan Teater STEM telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola, DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Menurut beliau, pertandingan ini merupakan program yang cukup luar biasa kerana umum beranggapan bahawa sastera adalah terpisah daripada sains dan teknologi. Namun begitu, pertandingan ini telah membuktikan hal yang sebaliknya.

Pengerusi Lembaga Pengelola, DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika berucap dalam Majlis Penutupan Pertandingan Teater STEM.

Sebenarnya, paduan antara kedua-dua bidang ini telah wujud sejak zaman Yunani lagi. Ahli falsafah pada zaman tersebut seperti Socrates, Plato dan Aristotle telah memadukan kedua-dua bidang tersebut dengan cukup rapi. Bahkan, kebanyakan tamadun juga tidak memisahkan kedua-kedua bidang tersebut. Tokoh tamadun Islam, Al-Farabi yang terkenal sebagai saintis juga merupakan seorang ahli muzik.

Tambah beliau, diharapkan usaha ini merupakan titik permulaan bagi Persatuan STEM Kebangsaan untuk menyatukan semula kedua-kedua bidang yang dianggap terpisah hingga terbahagi kepada dua, iaitu kelompok sains dan kelompok sastera.

Walau bagaimanapun, segala usaha tidaklah sampai menolak kepada pengkhususan tetapi mengharapkan agar pengkhususan tersebut tidaklah sehingga mengetepikan bidang lain.

Bagi beliau, orang sastera juga perlu menguasai ilmu sains agar mereka mampu menggarapnya dalam karya masing-masing. Di Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang adalah antara contoh tokoh sains yang rancak menghasilkan puisi bertemakan alam sekitar.

Beliau juga mencadangkan agar Bahagian Multimedia, DBP untuk memadatkan program yang dijalankan untuk dijadikan sebagai satu bahan dan seterusnya diberikan kepada institusi pengajian tinggi dan sekolah dalam usaha memperkenalkan genre teater STEM.

Seterusnya, Pengerusi Persatuan STEM Kebangsaan, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Noraini Idris pula menyatakan bahawa pihak DBP sentiasa memberikan sokongan kepada Persatuan STEM Kebangsaan untuk menganjurkan pelbagai program yang boleh menyemarakkan minat anak muda terhadap bidang STEM. Pelbagai aktiviti telah pun dilaksanakan termasuklah lakonan dan deklamasi sajak yang dilihat menyemarakkan lagi pembelajaran STEM melalui kaedah yang menyeronokkan.

Pengerusi Persatuan STEM Kebangsaan, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Noraini Idris ketika menyampaikan ucapan aluan.

Diharapkan masyarakat, terutamanya generasi muda menggunakan terminologi sains dalam perbualan seharian sebagaimana yang dipersembahkan dalam pementasan teater STEM ini.

Mengakhiri ucapan, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pasukan yang terlibat dalam pertandingan ini kerana sangat kreatif dan menunjukkan konsep STEM dengan berkesan menggunakan bahasa Melayu.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan. Kumpulan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Selangor telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Teater STEM yang julung-julung kalinya diadakan. Naib johan pula disandang oleh kumpulan dari Maktab Mahmud Yan, Kedah, manakala SMK Alor Pasir, Kelantan telah memenangi tempat ketiga. Tiga hadiah sagu hati pula dirangkul oleh kumpulan dari SMK Seri Garing Selangor, SMK Rantau Panjang, Selangor dan SMK Banting, Selangor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi