Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Institusi pendidikan merupakan gedung ilmu dan kerjasama dengan pihak penggiat industri seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku badan utama pengembangan bahasa kebangsaan di negara ini amatlah diperlukan untuk memberikan nilai tambah yang berkualiti kepada pelajar di samping meningkatkan penghayatan kecintaan mereka terhadap bahasa Melayu,” ujar Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi.
Beliau berkata demikian dalam kunjungan rasmi beliau ke DBP bagi membincangkan potensi kerjasama antara DBP dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis di Menara DBP petang tadi. Turut hadir bersama-sama beliau ialah Koordinator Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Perlis, Puan Eliy Nazira Mat Nazir.
Menurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, DBP mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuklah institusi pengajian tinggi yang mendukung usaha berkaitan dengan pemartabatan Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
DBP sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mengadakan program yang bersangkutan dengan pembudayaan dan pengembangan bahasa, sastera dan penerbitan yang memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara.
Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi yang juga merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP juga berkesempatan mengadakan pembentangan berkaitan dengan fungsi dan tanggungjawab UiTM Perlis serta pelaksanaan pelbagai program yang telah diadakan di kampus tersebut.
Menerusi perbincangan yang diadakan selama dua jam itu, beberapa bentuk kerjasama strategik antara DBP dengan UiTM Cawangan Perlis telah dikenal pasti yang merangkumi pelaksanaan aspek kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan yang berbentuk pendidikan, pelibatan bersama-sama komuniti dan pembangunan program kemahasiswaan.
Selain itu, DBP menawarkan peluang kerjasama dalam aspek penerbitan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu yang boleh diteroka oleh kumpulan pensyarah UiTM Cawangan Perlis.
“DBP sebagai badan penerbit terulung di Malaysia membuka peluang kepada penulis yang berminat untuk menerbitkan bahan penyelidikan berkualiti dalam bentuk buku yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat umum,” jelas Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dalam pertemuan tersebut.
Sebagai usaha untuk merealisasikan hasrat tersebut, DBP mengusulkan agar Memorandum Persefahaman antara DBP dengan UiTM Cawangan Perlis dirangka yang merangkumi kerjasama dalam pelbagai aspek seperti anjuran program, penerbitan, dan perkongsian maklumat yang mampu memberikan impak kepada DBP dan UiTM Cawangan Perlis untuk jangka masa panjang.

Antara yang hadir dalam kunjungan rasmi ini termasuklah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Ketua Editor Bahagian Buku Umum, Encik M Azahari Edin; Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar; Ketua Editor Bahagian Multimedia, Puan Naimah Yusof; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Encik Sharrul Rizal Hashim dan beberapa staf DBP.