Diterbitkan pada 14 Oktober 2022, 16:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menganjurkan Seminar Pengurusan Bencana yang membincangkan isu dan langkah penambahbaikan dalam tadbir urus serta pengurusan bencana di fasiliti KKM selain memperkasa kefahaman dan pelaksanaan operasi pengurusan bencana dalam kalangan petugas barisan hadapan.

Seminar selama dua hari tersebut yang telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin dihadiri kira-kira 400 orang yang terdiri daripada pengurusan tertinggi KKM, ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah jabatan dan agensi persekutuan, pengarah kesihatan negeri dan hospital, ketua jabatan kecemasan dan trauma, ketua pegawai eksekutif GLC dan ketua pertubuhan bukan kerajaan.

Menurut YB Khairy Jamaluddin, seminar ini merupakan suatu platform untuk menambah pengetahuan dan kefahaman semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana mengenai pengoperasian sebelum, semasa dan selepas bencana.

Saban tahun, kejadian banjir akan sentiasa menjadi bencana utama yang melanda negara dan pada ketika ini, kita juga perlu berwaspada dengan kesan daripada fenomena monsun timur laut.

Beliau juga menyatakan bahawa pandemik COVID-19 menjadi bukti yang jelas betapa pentingnya untuk setiap individu terus bersedia apabila berlakunya sesuatu bencana.

Sebagai kementerian yang telah dipertanggungjawabkan untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa banjir, KKM telah mengambil beberapa langkah awal dengan penempatan sebanyak 11 085 orang anggota kesihatan awam untuk membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.

Tambah beliau, sebanyak 4263 orang anggota yang terdiri daripada 1820 petugas rapid assessment team (RAT) dan 2443 petugas rapid response team (RRT) juga akan melaksanakan penilaian kepada mangsa atau isu yang melibatkan bencana.

Selain itu, KKM juga akan menyediakan 462 orang pakar kesihatan dan pasukan kesihatan mental serta sokongan di PPS sebagai persiapan dalam menghadapi banjir kerana mangsa banjir bukan hanya terkesan dari segi fizikal, malah dari segi emosi dan mental.

Dalam majlis yang sama, YB Khairy Jamaluddin turut melancarkan buku An Overview of Disaster Life Support in Disaster Management sebagai rujukan dan panduan kepada pengamal perubatan serta kakitangan agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan yang terlibat dalam pengurusan bencana.

Turut hadir dalam seminar tersebut ialah Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Datuk Harjeet Singh, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), YBhg. Dato’ Ts. Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, YBhg. Dato’ Zainal Alhakab Seman, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, YBhg. Dato’  Zamzuri Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) KKM, YBhg. Datuk Dr. Norhayati Rusli.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi