Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – “Krisis pandemik yang melanda negara sebelum ini jelas menunjukkan bahawa terdapat ketidakseimbangan dalam sumber dan tenaga kerja apabila keadaan ini berkait rapat dengan penjagaan kesihatan. Kita perlu mempelajari kesan daripada pengurusan pandemik ini agar dapat ditambah baik dari semasa ke semasa.”
Demikian titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam aktiviti kayuhan amal anjuran Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Perlis (MAIPs) baru-baru ini.
Tambah baginda lagi, Malaysia telah pun memasuki fasa peralihan endemik pada April 2022 dan masyarakat perlu membiasakan diri dengan segala kaedah baharu dalam penjagaan kesihatan diri sendiri serta orang di sekeliling, khususnya dalam kalangan ahli keluarga. Namun begitu, masyarakat juga perlu berhati-hati memandangkan virus COVID-19 ini masih berada dalam persekitaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), YBhg. Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim, Ketua Jabatan dan Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, YBrs. Profesor Dr. Alwi Mohamed Yunus dan Pakar Runding Anestesiologi Jantung, YBhg. Dato’ Dr. Syed Abdul Aziz Syed Zin Benyahya turut hadir mengiringi baginda dalam program MAIPs Peduli ini untuk membantu masyarakat kurang berkemampuan dan mempromosikan gaya hidup sihat secara langsung dalam kalangan komuniti tersebut.
Selain sumbangan agihan zakat berupa wang tunai, beras dan pek bahan makanan mentah daripada MAIPs, asnaf terpilih juga menerima perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dengan menggunakan peralatan canggih daripada pakar dan sukarelawan daripada IJN serta pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri.
Antara asnaf terpilih yang menerima bantuan dan perkhidmatan ini ialah Encik Izham Awang (69 tahun), Encik Syabudin Saad (45 tahun) dan Encik Omar Ali (67 tahun).
Pada 7 Oktober hingga 8 Oktober 2022 lalu, IJN telah mengadakan Program Kesihatan Komuniti di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping dan Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis. Dalam program tersebut, masyarakat di sekitar kawasan tersebut berpeluang mendapatkan saringan dan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan asas yang disediakan oleh pihak IJN.