Diterbitkan pada 10 Oktober 2022, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penutupan Program Kesihatan Komuniti anjuran Institut Jantung Negara (IJN) di Dataran Semarak, Kampung Seberang Ramai semalam.

Menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim, Ketua Jabatan dan Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, Profesor Dr. Alwi Mohamed Yunus dan Pakar Runding Anestesiologi Jantung, Datuk Dr. Syed Abdul Aziz Syed Zin Benyahya.

Raja Puan Muda Perlis, DYTM  Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat dalam Program Kesihatan Komuniti di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Program dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis ini berlangsung selama dua hari di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping dan di Kampung Seberang Ramai yang merupakan perkampungan warna-warni melalui pelaksanaan Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai.

Menurut Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim, Program Inisiatif Sosial IJN ini bermula pada tahun 2007 dan diwujudkan untuk mendekati komuniti di luar bandar di samping menawarkan saringan dan perawatan asas sebagai langkah pencegahan daripada penyakit jantung.

Pada tahun 2016, pihak IJN mula melebarkan sayap perkhidmatan menggunakan klinik bergerak yang dilengkapi dengan peralatan imbasan jantung. Melalui program ini juga, pihak IJN telah menyaring sebanyak 46 150 pesakit dan telah menjelajah ke 138 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia. Pada tahun ini, negeri Perlis merupakan lokasi yang keempat selepas program ini dilaksanakan di Langkawi, Johor Bahru dan Ipoh.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada MAIPs dan YTSP Perlis yang telah memberikan kerjasama yang baik dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan program ini.

Melalui program ini, masyarakat setempat di kedua-dua kawasan tersebut berpeluang mendapatkan perkhidmatan ujian saringan kesihatan seperti Indeks Jisim Badan (BMI), ujian tekanan darah, ujian gula dan kolesterol di dalam darah, ujian elektrokardigram dan ujian ekokardiografi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi