Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPauh Putra – “Kesihatan mental amat penting kerana menyumbang kepada kecerdasan minda dalam melahirkan individu yang cemerlang yang akan memimpin negara kelak,” titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan “Majlis Penutup Program Minda Cerdas Komuniti Gemilang – Siri 1” anjuran Pusat Rancangan Kokurikulum, Universiti Sains Malaysia (USM) di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Pauh Putra, petang semalam.

Menurut baginda, masyarakat perlu cakna tentang segala simptom yang menyumbang kepada kemerosotan kesihatan mental. Pada masa yang sama juga, masyarakat perlu mempunyai strategi bagi mengatasi kemerosotan kesihatan mental dengan sentiasa berhubung dengan orang di sekeliling, meluahkan kerisauan yang ada dalam diri, memerhatikan kesihatan fizikal masing-masing, dan mendapatkan bantuan profesional sebelum terlambat.
Program kesedaran kesihatan mental dalam kalangan komuniti belia dan mahasiswa dalam kalangan keluarga asnaf dan B40 di negeri Perlis selama dua hari ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah Program KPT PRIHATIN – Komuniti Sejahtera (KRIS). Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pihak UniMAP, Faizuddin Centre of Excellence (FCOE) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Program ini melibatkan kehadiran para pelajar yang berasal dari negeri Perlis terpilih yang kini sedang melanjutkan pelajaran di USM, UiTM Cawangan Perlis, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Kolej Komuniti Arau, dan UniMAP.

Jagalah kesihatan anda semua, kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Jadikanlah diri anda sebagai contoh dan teladan kepada orang di sekeliling.
Tambah baginda, dengan pelbagai inisiatif yang telah dilakukan oleh para akademia dan ilmuan daripada USM, UniMAP, FCOE, dan MAIPs dalam menyumbang ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran, pasti banyak lagi buah fikiran ilmuwan dalam pelbagai bidang dapat digunakan untuk melakukan perubahan. Sumbangan daripada ahli akademik dan ilmuwan ini perlu dihargai dan dijadikan sebagai sumber rujukan dalam menyelesaikan masalah negara.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Profesor Dr. Mohd Yusoff Mashor dan Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohd Kassim.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin, Pengerusi FCOE, Profesor Emeritus Datuk Ir. Ts. Dr. Kamarudin Hussin, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Narimah Samat, dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.