Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) bersetuju bahawa kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri diperlukan bagi memastikan aktiviti pembangunan dapat diseimbangkan dengan keperluan pelestarian alam sekitar.
MEXCOE Bilangan 1 Tahun 2022 yang dipengerusikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pada pagi ini bersepakat bahawa kerjasama ini diperlukan bagi memastikan agenda kelestarian negara dapat dicapai.

Menurut kenyataan media Menteri Alam Sekitar dan Air, mesyuarat ini turut membincangkan cadangan pemerkasaan MEXCOE yang melibatkan penyusunan semula keahlian mesyuarat serta penambahan ahli mesyuarat, terutamanya yang melibatkan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.
Hal ini adalah penting untuk meningkatkan fokus MEXCOE dalam menyelaras pelaksanaan dasar, program dan aktiviti serta memperkukuhkan kerjasama di antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam pengurusan dan tadbir urus alam sekitar.
Dalam kenyataan media yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa Sambutan Hari Alam Sekitar Negara yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan diadakan pada 21 Oktober 2022 di negeri Pahang.
Dalam mesyuarat yang sama juga, JAS turut berkongsi kepada ahli mesyuarat mengenai program Rakan Alam Sekitar (RAS) yang telah diperkasakan, iaitu RAS 2.0 dengan pewujudan lima kluster utama, iaitu Kluster RAS Agensi, Kluster RAS Kampus, Kluster RAS Sekolah, Kluster RAS Industri dan Kluster RAS Komuniti yang turut melibatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Pengakap dan Rukun Tetangga.
Selain itu, menurut YB Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, kertas makluman mengenai status pelaksanaan caj pencemaran plastik oleh kerajaan negeri turut dibentangkan dalam mesyuarat pada kali ini.
Kementerian Alam Sekitar dan Air telah mendapat mandat daripada Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan ke-76 untuk mengenakan caj pencemaran minimum sebanyak RM0.20 bagi setiap helaian beg plastik yang dilaksanakan melalui pihak berkuasa tempatan.
Sehingga bulan Disember 2021, sebanyak tiga negeri, iaitu Pulau Pinang, Selangor, dan Johor telah melaksanakan inisiatif ini. Kutipan caj pencemaran ini dibelanjakan untuk pelestarian alam sekitar dan program kesejahteraan rakyat.
MEXCOE dihadiri oleh menteri dan ahli mesyuarat kerajaan negeri yang memegang portfolio berkaitan alam sekitar dari seluruh negara serta pegawai kementerian, jabatan, agensi yang berkaitan dengan alam sekitar pada peringkat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.