Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLangkawi – Sambutan Hari Pemuliharaan Ekosistem Hutan Bakau Sedunia 2026 yang berlangsung di Jeti Pelancongan Sungai Kilim berjaya menghimpunkan agensi kerajaan, ahli akademik, pengusaha pelancongan, komuniti setempat dan Sekolah Angkat Geopark dalam usaha memperkukuh pemuliharaan ekosistem bakau di Langkawi.
Program ini dianjurkan oleh Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad (COOPKILIM) sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan hutan bakau kepada biodiversiti, perlindungan pantai dan kelestarian industri ekopelancongan.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan termasuklah taklimat mengenai kepentingan ekosistem bakau, pengenalan spesies bakau, aktiviti penyemaian anak benih, lawatan ke kawasan konservasi bakau serta sesi perkongsian bersama dengan pakar tentang cabaran pemuliharaan hutan bakau di Sungai Kilim.
Dalam sesi perkongsian bertajuk “Bakau Kita, Sungai Kita, Periuk Nasi Kita”, YBrs. Ts. Dr. Jamil Tajam, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, membentangkan dapatan bahawa kawasan Sungai Kilim telah mengalami hakisan tebing yang serius sehingga mengakibatkan kehilangan kira-kira 13,676 meter persegi kawasan bakau.
Beliau menjelaskan bahawa antara faktor utama yang menyumbang kepada hakisan ialah ombak daripada bot pelancong yang bergerak pada kelajuan tinggi berhampiran tebing sungai, seterusnya mencadangkan beberapa langkah mitigasi termasuklah pelaksanaan zon had kelajuan, pemasangan boya bagi mewujudkan laluan bot yang lebih terkawal serta pembinaan struktur pemecah ombak mesra alam bagi mengurangkan impak ombak terhadap tebing bakau.
Kemuncak program menyaksikan perasmian projek Kilim Wave Breaker, satu inisiatif bagi mengurangkan hakisan tebing sungai dan melindungi habitat bakau di kawasan Sungai Kilim yang dijangka akan menjadi projek perintis yang menggabungkan pendekatan kejuruteraan semula jadi dan pengurusan pelancongan lestari demi memastikan ekosistem bakau terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Program ini turut membuka ruang kepada pengusaha bot, pemandu bot dan nelayan untuk bersama-sama membincangkan pendekatan terbaik dalam mengimbangi aktiviti ekopelancongan dan usaha pemuliharaan alam sekitar.
Kerjasama erat antara komuniti, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pemain industri diyakini mampu memastikan Sungai Kilim terus kekal sebagai destinasi geopelancongan bertaraf dunia yang lestari.