Diterbitkan pada 23 Julai 2026, 10:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Latok atau Caulerpa lentillifera berpotensi menjadi sumber makanan laut berkhasiat yang mampu menyumbang kepada sekuriti makanan negara serta memperkukuh pembangunan akuakultur mampan berikutan kandungan nutrien dan sebatian bioaktifnya yang tinggi.

Pensyarah Unit Biologi, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Nor Atikah Husna Ahmad Nasir merangkap Penyelaras Projek Tahun Akhir Bidang Biologi berkata, latok merupakan sejenis rumpai laut hijau yang kaya dengan pelbagai nutrien penting serta sebatian bioaktif yang memberikan nilai tambah sebagai sumber makanan.

Menurut beliau, hasil penyelidikan menunjukkan bahawa latok mengandungi serat makanan, protein, karbohidrat serta mineral penting seperti kalsium, magnesium, kalium dan zink.

Ujarnya,

Latok juga mengandungi sebatian fitokimia seperti fenolik dan flavonoid yang sering dikaitkan dengan aktiviti antioksidan, sekali gus menjadikan latok dikategorikan sebagai makanan fungsian kerana bukan sahaja membekalkan nutrien asas, malah berpotensi menyumbang kepada kesejahteraan kesihatan manusia.

Berbanding dengan rumpai laut lain, latok mempunyai keunikan dari segi teksturnya yang rangup, rasanya yang segar dan boleh dimakan secara terus tanpa memerlukan banyak proses penyediaan.

“Latok juga mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana boleh dipasarkan sebagai makanan segar, berbeza dengan kebanyakan rumpai laut lain yang lazimnya perlu diproses terlebih dahulu sebelum dimakan,” ujarnya.

Mengulas aspek pengeluaran, beliau berkata, kualiti air memainkan peranan penting dalam menentukan pertumbuhan, morfologi dan kandungan nutrien latok.

Parameter seperti suhu, saliniti, pH, oksigen terlarut serta kandungan nutrien dalam air mempengaruhi proses fisiologi rumpai laut tersebut.

Jelas beliau,

Suhu yang sesuai membantu pertumbuhan optimum, manakala saliniti dan pH yang stabil penting untuk memastikan fungsi biologi berjalan dengan baik, manakala nutrien seperti nitrogen dan fosforus pula diperlukan bagi menyokong pertumbuhan yang sihat.

Pengurusan kualiti air yang berkesan bukan sahaja meningkatkan hasil pengeluaran, malah memastikan produk yang dihasilkan mempunyai kualiti pemakanan yang tinggi.

Beliau juga berkata, pencemaran laut akibat sisa domestik, pertanian dan industri turut menjadi cabaran kerana boleh menjejaskan keselamatan makanan serta produktiviti latok.

“Sebagai organisma yang hidup secara langsung dalam persekitaran air, latok berpotensi terdedah kepada bahan pencemar, oleh itu pemantauan berkala perlu dilakukan bagi memastikan kandungan logam berat seperti arsenik, plumbum dan kadmium sentiasa berada pada tahap yang selamat untuk pengguna,” katanya.

Katanya lagi, pencemaran bukan sahaja menjejaskan keselamatan makanan, malah boleh mengganggu keseimbangan ekosistem marin yang menyokong pengeluaran latok secara semula jadi.

Perubahan iklim turut menjadi cabaran baharu apabila peningkatan suhu laut, perubahan corak hujan dan kejadian cuaca ekstrem berpotensi mengubah habitat semula jadi yang diperlukan untuk pertumbuhan optimum latok.

“Perubahan persekitaran boleh mempengaruhi kestabilan saliniti, kandungan nutrien dan keadaan perairan yang menjadi faktor penting kepada kelangsungan populasi latok,” katanya.

Malaysia mempunyai potensi besar untuk membangunkan industri akuakultur latok berikutan kedudukan negara di kawasan tropika serta pengalaman sedia ada dalam sektor penternakan rumpai laut.

Menurut beliau, pembangunan latok juga adalah selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 yang memberikan penekanan kepada sekuriti makanan, pembangunan akuakultur mampan dan peningkatan nilai ekonomi sektor agromakanan.

“Permintaan global terhadap makanan sihat, makanan berasaskan tumbuhan dan sumber makanan lestari semakin meningkat, sekali gus menunjukkan latok berpotensi untuk dipasarkan sebagai makanan segar, produk bernilai tambah serta bahan mentah industri makanan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan beberapa cabaran perlu diatasi, termasuklah kawalan kualiti air, keselamatan makanan, bekalan benih berkualiti, pematuhan piawaian serta pembangunan rantaian pemasaran yang lebih sistematik.

Beliau juga menyeru agar pihak kerajaan, penyelidik dan industri sentiasa bekerjasama bagi memperkukuh penyelidikan berkaitan dengan nutrisi, teknologi penternakan serta kesan perubahan persekitaran terhadap pengeluaran latok.

Keunikan latok yang boleh dimakan segar menjadikannya bernilai tinggi dalam industri akuakultur.
Kualiti air yang baik memainkan peranan penting dalam memastikan pertumbuhan optimum latok.
Industri akuakultur latok berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu yang menyokong sekuriti makanan dan pembangunan lestari negara.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi