Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Dalam usaha memperkukuh ekosistem integriti bahan dan struktur kejuruteraan demi pembangunan negara yang selamat, mampan dan berdaya tahan, Agensi Nuklear Malaysia telah menganjurkan 10th National Seminar on Material and Structural Integrity (SMSI) 2026 pada 22 hingga 23 Julai 2026 di Hotel Royale Chulan.
Seminar yang bertemakan From Advanced Materials to Resilient Infrastructure: Bridging Science and Safety itu telah berjaya menghimpunkan peserta yang terdiri daripada pengamal industri, jurutera, para penyelidik, ahli akademik, badan profesional serta agensi kerajaan.
Seminar ini menjadi platform perkongsian ilmu, pemindahan teknologi serta pengukuhan kerjasama strategik dalam bidang sains bahan, integriti struktur dan teknologi pemeriksaan.
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin dalam ucapan perasmian menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur pada masa ini tidak lagi hanya tertumpu kepada aspek kekuatan dan reka bentuk fizikal, sebaliknya perlu mengutamakan elemen daya tahan, keselamatan, kecekapan tenaga dan kelestarian.

Katanya,
Integriti bahan dan struktur bukan lagi sekadar memenuhi keperluan teknikal, malah perlu dijadikan agenda utama bagi memastikan keselamatan pengguna dan infrastruktur serta menjamin kesejahteraan rakyat.
Tambah beliau, penganjuran SMSI 2026 adalah selari dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 yang memberikan penekanan kepada pengukuhan penyelidikan, inovasi, pembangunan modal insan serta penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab.
Ujarnya,
Seminar ini diharapkan terus menjadi platform strategik dalam memperkasakan kompetensi negara, memperluas kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia serta menyokong pembangunan infrastruktur yang lebih selamat, mampan dan berdaya tahan.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Bahagian (Teknologi Strategik dan Aplikasi S&T), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBrs. Ts. Dr. Radin Zulhazmi Radin Abdul Halim; Pengarah Kanan (Program Pengkomersialan dan Perancangan Teknologi), Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Ts. Dr. Mohd Rodzi Ali serta wakil dari pelbagai jabatan dan agensi.
