Oleh Ema Ery
Diterbitkan pada 23 Julai 2026, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Segamat – Sebanyak 2300 orang peserta daripada 135 sekolah dan institusi pengajian tinggi di Johor dan Melaka berentap dalam Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Selatan yang berlangsung di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology pada 22 hingga 23 Julai 2026 bagi merebut tempat ke Peringkat Akhir Kebangsaan di MAEPS, Serdang, Selangor pada November ini.

Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan, penganjuran Malaysia Techlympics bertujuan untuk memupuk minat generasi muda terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan yang menyeronokkan, sekali gus membudayakan pemikiran kritikal, kemahiran dan inovasi dalam kalangan belia.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, beliau menyatakan bahawa matlamat utama penganjuran Malaysia Techlympics adalah untuk memperkasakan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) kepada kumpulan sasar menerusi pendekatan praktikal, pembelajaran tidak formal serta pembelajaran berasaskan pengalaman melalui pertandingan yang melibatkan pelajar dan belia daripada pelbagai peringkat umur, jantina dan bangsa.

Katanya,

MOSTI terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan minat pelajar dan belia terhadap STI, termasuklah memperkenalkan teknologi baharu yang semakin mendapat perhatian dalam sektor industri dan perniagaan.

Sejajar dengan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), Malaysia Techlympics 2026 memperkenalkan dua pertandingan baharu berasaskan AI, iaitu AI Vibe Coding Drone dan Cabaran FC-1 Vibe AI sebagai platform untuk meningkatkan kemahiran peserta dalam teknologi masa hadapan.

Malaysia Techlympics turut menampilkan pelbagai pertandingan dan aktiviti berteraskan teknologi seperti robotik, pengekodan, pengkomputeran, dron dan kejuruteraan bagi memberikan pendedahan awal kepada pelajar dan belia terhadap bidang teknologi yang semakin berkembang pesat.

Orang ramai boleh melayari laman web rasmi Malaysia Techlympics untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan program ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi