Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh agenda pengkomersialan penyelidikan apabila enam hasil penyelidikan warganya dilesenkan kepada rakan industri menerusi perjanjian pelesenan bernilai keseluruhan RM130,000.00, sekali gus memastikan inovasi universiti diterjemahkan kepada teknologi dan produk yang memberikan manfaat kepada industri serta masyarakat.
Enam hasil penyelidikan yang berjaya dilesenkan ialah KEJORA Refreshing Anti-Aging Eye Cream (KEJORA), Magic Box Tiny Fingers, SIFIRA, Konsep Rekaan Corak RATUKU, Praktis Korea dan Aplikasi Media Patuh Syariah (Islamic Creative Media Apps).
Naib Canselor UKM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Sufian Jusoh berkata, kepelbagaian inovasi yang diketengahkan membuktikan hasil penyelidikan UKM merangkumi pelbagai disiplin, termasuklah bidang kesihatan, pendidikan dan warisan budaya.

Katanya,
Pengkomersialan teknologi merentas pelbagai disiplin itu diharapkan dapat memperkukuh kerjasama antara universiti dengan industri, meningkatkan daya saing ekonomi berasaskan pengetahuan serta menghasilkan penyelesaian yang memberikan manfaat kepada masyarakat.
Sementara itu, Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (INOVASI@UKM™), YBhg. Profesor Dr. Sawal Hamid Md. Ali berkata, UKM komited memastikan setiap inovasi yang dihasilkan oleh penyelidik tidak terhenti pada peringkat makmal, sebaliknya diterjemahkan kepada produk yang bersedia untuk dikomersialkan.

Menurut beliau, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi menggalakkan penyelidik memindahkan hasil inovasi ke pasaran, misalnya melalui penyediaan dana pemindahan teknologi yang menyokong pembangunan inovasi daripada Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) 4 kepada TRL 7 dengan kerjasama syarikat kolaborator bagi memastikan pembangunan teknologi memenuhi keperluan industri.
Ujarnya,
Proses membawa sesuatu hasil penyelidikan ke pasaran bukanlah mudah kerana sering wujud jurang antara hasil penyelidikan dengan keperluan industri sehingga ada penyelidikan yang hanya berakhir sebagai penerbitan akademik atau tidak diteruskan ke peringkat pengkomersialan kerana kurang berpotensi dalam pasaran atau melibatkan kos pembangunan yang tinggi.
Pelibatan yang lebih serius dan berterusan antara pihak industri dengan akademik amat penting bagi merapatkan jurang tersebut dan meningkatkan kejayaan pengkomersialan hasil penyelidikan.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran dua produk inovasi, iaitu KEJORA dan Magic Box Tiny Fingers, yang masing-masing dilesenkan kepada Bumi Lensa Resources dan Tateh Sakinah Ventures Sdn. Bhd.
Menurut YBhg. Profesor Dr. Sawal Hamid Md. Ali, KEJORA merupakan produk kosmeseutikal inovatif berasaskan campuran minyak Sacha Inchi dan minyak kelapa dara yang berfungsi melindungi kulit di sekeliling mata daripada sinaran UVB dan cahaya biru, manakala Magic Box Tiny Fingers ialah inovasi pendidikan awal kanak-kanak berasaskan psikologi perkembangan dan kognitif yang dibangunkan bagi membantu menangani ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak.