Diterbitkan pada 7 Julai 2026, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Projek Firefighter Oral Resilience and Champion Empowerment (FORCE) yang diperkenalkan oleh Fakulti Pergigian Universiti Malaya berjaya memperkukuh kesihatan pergigian, mengubah amalan penjagaan kesihatan mulut dan meningkatkan kesiapsiagaan anggota bomba melalui pendekatan kesihatan pergigian yang komprehensif.

Program komuniti yang dilaksanakan di Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya dari 20 Januari 2026 hingga 22 Mei 2026 itu dikendalikan oleh pelajar pascasiswazah program Doktor Kesihatan Pergigian Awam, Jabatan Kesihatan Pergigian Masyarakat dan Pencegahan Klinikal, Fakulti Pergigian Universiti Malaya di bawah penyeliaan YBhg. Profesor Dr. Zamros Yuzadi Mohd. Yusof serta diketuai oleh YBrs. Dr. Navissha Devi Thivyakumar.

FORCE dibangunkan berasaskan keperluan sebenar anggota bomba yang berdepan dengan jadual kerja syif, tugasan kecemasan yang tidak menentu, pendedahan kepada haba dan asap, risiko dehidrasi serta waktu makan yang tidak konsisten yang boleh menjejaskan kesihatan pergigian dan seterusnya tahap kesiapsiagaan mereka.

Penilaian awal terhadap 47 orang anggota bomba mendapati lebih daripada 90 peratus memerlukan rawatan pergigian, hampir satu pertiga memerlukan rawatan lanjut dan majoriti peserta memerlukan pengukuhan pengetahuan berkaitan dengan amalan penjagaan kesihatan pergigian.

Untuk menangani isu tersebut, FORCE melaksanakan pelbagai intervensi secara terus di balai bomba, termasuklah pemeriksaan kesihatan pergigian, rawatan menggunakan Klinik Pergigian Bergerak Universiti Malaya, pendidikan penjagaan kesihatan mulut, kaunseling pemakanan sihat, intervensi berhenti merokok dan penggunaan vap serta penyediaan sudut memberus gigi sebagai sebahagian daripada inisiatif Balai Bomba Sihat.

Beberapa orang anggota bomba turut dilatih sebagai Dental Champion bagi membudayakan amalan penjagaan kesihatan pergigian secara berterusan dalam kalangan warga balai.

Pelaksanaan FORCE menunjukkan bahawa impak yang memberangsangkan apabila peserta memperlihatkan peningkatan ketara dalam pengetahuan berkaitan dengan penjagaan kesihatan pergigian serta amalan pencegahan seperti penggunaan flos gigi, memberus gigi sebelum tidur dan menjalani pemeriksaan pergigian secara berkala.

Sebanyak 92.1 peratus peserta menyatakan program tersebut membantu mereka memahami status serta risiko kesihatan pergigian masing-masing, manakala semua peserta menyokong kesinambungan FORCE sebagai sebahagian daripada inisiatif Balai Bomba Sihat.

Program ini turut merekodkan perubahan tingkah laku positif, termasuklah pengurangan tabiat merokok dan penggunaan vap, peningkatan pengambilan air kosong, pengurangan minuman bergula serta amalan kebersihan mulut yang lebih baik yang diyakini mampu menyumbang kepada kesiapsiagaan anggota bomba ketika menjalankan tugas menyelamat.

Peserta program turut didedahkan kepada penyediaan makanan yang betul bagi menggalakkan tabiat pemakanan yang lebih sihat.

Kemuncak pelaksanaan program diraikan menerusi Majlis Penutup Program FORCE pada 7 Julai 2026 di Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya yang disempurnakan oleh Ketua Cawangan Keselamatan Kebakaran Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Tuan Muhammad Firdaus Khan Anwat Khan.

Kehadiran beliau melambangkan komitmen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam menyokong inisiatif yang memperkasakan kesihatan serta kesejahteraan anggota sebagai aset utama organisasi.

Majlis penutup tersebut turut menjadi platform dalam menghargai kerjasama erat antara Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Petaling, Jabatan Dietetik Pusat Perubatan Universiti Malaya, Klinik Berhenti Merokok Kuala Lumpur serta rakan industri yang bersama-sama menjayakan program ini.

Secara keseluruhannya, FORCE membuktikan bahawa kolaborasi antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan sektor industri mampu menghasilkan pendekatan inovatif dalam meningkatkan kesejahteraan petugas barisan hadapan, sekali gus berpotensi diperluas ke organisasi lain yang mengamalkan sistem kerja syif sebagai contoh amalan terbaik dalam pembangunan kesihatan di tempat kerja.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi