Diterbitkan pada 30 Jun 2026, 08:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seberang Perai – Cabaran besar Malaysia bagi mencapai sasaran untuk menjadi negara pencipta teknologi bukan lagi tentang isu infrastruktur semata-mata, sebaliknya untuk memastikan kesiapsiagaan dan kelangsungan bakat tempatan yang berkualiti.

Demikian ucapan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Dato’ Ruziah Shafei ketika menyempurnakan majlis peluncuran Pameran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersempena dengan Minggu Sains Negara (MSN) 2026 anjuran Rakan MySains MOSTI, iaitu Tech Dome Penang.

“Maka, sebagai menyediakan bakat masa hadapan yang lebih kukuh dan berdaya saing, program pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) yang dilaksanakan oleh MOSTI seperti program MSN ini menjadi tunjang utama untuk memupuk minat bakat muda dalam bidang STI,” ujarnya.

Menurut beliau, program MSN 2026 merupakan inisiatif utama kerajaan bagi menyemarakkan pembudayaan STI selari dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), MOSTI, YBhg. Dato’ Ruziah Shafei ketika menyempurnakan majlis peluncuran pameran STEM .

Tambah beliau, penganjuran karnival sains secara fizikal tersebut diadakan di lima lokasi strategik seluruh negara, iaitu Utara, Selatan, Timur, Sabah dan Sarawak yang bermula dari Jun hingga Oktober 2026.

“Zon Utara yang dilaksanakan di Pulau Pinang menjadi zon utama pelaksanaan sebagai sebuah negeri yang mempunyai ekosistem industri teknologi tinggi yang memfokuskan kepada aktiviti utama seperti semikonduktor, pembungkusan termaju dan pelbagai teknologi tinggi yang lain,” ujar beliau lagi.

Menurut beliau, penganjuran MSN 2026 Zon Utara turut memperlihatkan kolaborasi erat antara pihak MOSTI dengan Rakan MySains, iaitu Tech Dome Penang, industri sekitar Pulau Pinang dan lain-lain lagi.

Tambahnya lagi, penganjuran kali ini juga menunjukkan satu elemen baharu, iaitu advokasi nuklear yang memaparkan tentang teknologi nuklear dan manfaatnya kepada rakyat.

Melalui Karnival MSN 2026, MOSTI komited untuk meningkatkan literasi masyarakat terhadap kepentingan STI sebagai pemacu kesejahteraan dan kualiti hidup selaras dengan nilai Malaysia Madani.

Kredit Foto: Amirah Syazwani Baderol Sham
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi