Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kesedaran terhadap hubungan antara kelestarian alam sekitar, kesihatan awam dan keselamatan pekerjaan perlu dipupuk sejak usia remaja bagi melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap kesejahteraan diri, komuniti dan persekitaran.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kelab Kesihatan Persekitaran UKM telah menganjurkan Program Intai Komuniti Sihat 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Seri Rampai, Kuala Lumpur.
Program yang berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 4.30 petang itu melibatkan penyertaan pelajar Tingkatan Empat dengan tema “Persekitaran Sihat, Generasi Hebat”, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi) serta SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, FSK, UKM, YBrs. Dr. Mohd Sham Othman yang menegaskan bahawa penjagaan alam sekitar bukan hanya tanggungjawab pihak tertentu, sebaliknya memerlukan pelibatan aktif semua lapisan masyarakat termasuklah golongan muda.

Program Intai Komuniti Sihat merupakan inisiatif yang memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai isu kesihatan persekitaran seperti pengurusan sisa, kebersihan persekitaran, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta amalan hidup lestari.

Program tersebut dirancang dan dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar Tahun Dua Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, FSK, UKM dengan bantuan pelajar Tahun Satu sebagai sebahagian daripada usaha menggunakan pengetahuan akademik dalam aktiviti khidmat komuniti.
Program itu diketuai oleh Encik Amir Zakwan Azmi selaku Pengarah Program bersama-sama ahli jawatankuasa pelaksana yang menggerakkan pelbagai aktiviti bagi mencapai objektif yang ditetapkan.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah pameran reruai berkaitan dengan kesihatan persekitaran serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah, ceramah bertajuk “EVH in School” yang disampaikan oleh Encik Muhammad Farrid Izhan Saifulhazran, aktiviti menghasilkan seed bomb, cabutan bertuah dan permainan mini berunsurkan pendidikan.

Pendekatan santai dan interaktif yang digunakan berjaya menarik minat pelajar untuk memahami konsep kesihatan persekitaran serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan dengan lebih mudah dan menyeronokkan.

Menurut pihak penganjur, kesihatan manusia dan kualiti alam sekitar mempunyai hubungan yang rapat kerana pendedahan berterusan kepada pencemaran udara, air dan tanah boleh meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan termasuklah penyakit pernafasan, penyakit bawaan air, keracunan bahan kimia serta gangguan kesejahteraan hidup.

Aktiviti menghasilkan seed bomb pula menjadi medium pendidikan alam sekitar yang berkesan apabila pelajar didedahkan kepada peranan tumbuh-tumbuhan dalam meningkatkan kualiti udara, mengurangkan hakisan tanah dan menyokong biodiversiti setempat, sekali gus menterjemahkan aspirasi SDG 11 dan SDG 15 yang menekankan pembangunan komuniti mampan serta pemeliharaan ekosistem daratan.

Selain memberikan manfaat kepada komuniti sekolah, program tersebut turut menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman kepada mahasiswa UKM yang berpeluang menggunakan ilmu yang dipelajari dalam situasi sebenar melalui interaksi langsung dengan masyarakat serta memperkukuh kemahiran komunikasi, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.

Program berkenaan turut mendapat sokongan penuh daripada pihak pentadbiran dan guru SMK Taman Seri Rampai termasuklah Puan Norazian Rona, Puan Zinatul ‘Ashiqin Tamleha, Puan Shobana Nair Saseetharan, Tuan Haji Ampandi Omar, Puan Siti Norizan Ramli, Puan Nur Fadhlin Adila Zulkefly dan Encik Muhammad Syafiq Mohd Shaib.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Empat SMK Taman Seri Rampai, Nur Syafiah Umairah Mohd Rushdi berkata, program itu membuka perspektif baharu tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
Katanya,
Saya sangat seronok menyertai program ini kerana banyak perkara baharu yang saya pelajari tentang kesihatan persekitaran. Aktiviti seperti membuat seed bomb dan lawatan ke reruai pameran sangat menarik serta membantu saya memahami tindakan kecil boleh memberikan kesan kepada alam sekitar dan kesihatan masyarakat.
Seorang lagi peserta yang terlibat, Muhammad Muaz Syakirin Mahathir menyifatkan program tersebut sebagai pengalaman yang menyeronokkan dan bermanfaat.
Ujarnya,
Aktiviti yang dijalankan sangat menarik kerana kami bukan sahaja mendengar ceramah, tetapi turut terlibat dalam pelbagai aktiviti secara langsung dan menerusi program ini, saya dapat mempelajari banyak perkara baharu yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Puan Norazian Rona dan YBrs. Dr. Farah Diyana Ariffin selaku Penasihat Program Intai Komuniti Sihat 2026 yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan.
Penganjuran Program Intai Komuniti Sihat 2026 membuktikan bahawa usaha memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, kesihatan awam dan keselamatan pekerjaan perlu dilaksanakan secara berterusan melalui pendidikan dan pelibatan komuniti bagi melahirkan generasi muda yang mampu menjadi ejen perubahan ke arah masyarakat yang lebih sihat, lestari dan sejahtera.