Diterbitkan pada 3 Julai 2026, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Rumpai merupakan kekangan biotik utama yang menjejaskan produktiviti sistem pertanian di seluruh dunia kerana keupayaannya bersaing secara langsung dengan tanaman untuk mendapatkan cahaya, air, nutrien dan ruang tumbesaran. Persaingan ini menjadi lebih kritikal pada peringkat awal pertumbuhan tanaman apabila sumber masih terhad dan kanopi belum berkembang sepenuhnya untuk melindungi permukaan tanah. Dalam keadaan tersebut, rumpai yang bercambah lebih awal atau mempunyai kadar pertumbuhan lebih pantas akan memperoleh kelebihan kompetitif dan seterusnya menekan pertumbuhan tanaman utama. Kesan persaingan ini bukan sahaja mengurangkan kadar pertumbuhan vegetatif tanaman, malah boleh menjejaskan hasil sekiranya tidak dikawal pada peringkat yang sesuai.

Dalam sistem penanaman padi sawah, cabaran pengurusan rumpai menjadi lebih kompleks kerana keadaan bertakung mempengaruhi percambahan serta pertumbuhan rumpai akuatik dan separa akuatik. Persekitaran berair membolehkan biji benih dan rizom rumpai mengekalkan kelembapan untuk tempoh yang lebih lama, sekali gus meningkatkan kadar percambahan dan kelangsungan hidup anak pokok. Perubahan paras air, aliran nutrien serta gangguan tanah semasa penyediaan sawah turut merangsang pengaktifan bank benih (seed bank) dalam tanah. Oleh itu, pengurusan rumpai dalam ekosistem sawah memerlukan pemahaman menyeluruh tentang interaksi antara biologi rumpai, amalan agronomi dan faktor persekitaran.

Keladi agas (Monochoria vaginalis) merupakan satu daripada rumpai akuatik berdaun lebar (broadleaf weed) yang sering mendominasi sawah padi di Malaysia dan Asia Tenggara. Spesies daripada keluarga Pontederiaceae ini mempunyai taburan semula jadi yang luas meliputi Asia Selatan, Asia Timur dan Asia Tenggara serta sangat sinonim dengan ekosistem sawah bertakung. Dari segi morfologi, tumbuhan ini mempunyai daun berbentuk ovat atau berbentuk hati dengan permukaan licin dan berkilat, batang daun berongga serta bunga berwarna ungu kebiruan yang tersusun dalam bentuk spika. Ciri-ciri ini menyokong kelangsungan hidup dalam keadaan bertakung dan membolehkannya bersaing secara efektif dengan tanaman padi dari segi penyerapan cahaya dan nutrien.

Keupayaannya menghasilkan biji benih dalam kuantiti yang besar serta percambahan yang responsif terhadap cahaya dan kelembapan memberikan kelebihan reproduktif yang ketara kepada spesies ini. Biji benih yang terhasil mampu membentuk bank benih dalam tanah dan kekal dorman sehingga keadaan persekitaran sesuai untuk percambahan. Keadaan ini menyumbang kepada kesinambungan populasi dari satu musim penanaman ke musim berikutnya. Dari perspektif ekologi, M. vaginalis menunjukkan keupayaan adaptasi yang tinggi terhadap variasi persekitaran sawah. Spesies ini boleh bertindak sebagai tumbuhan tahunan di kawasan yang mengalami pengeringan berkala, namun berpotensi menjadi separa sulur di kawasan yang sentiasa berair dan bergantung pada keadaan hidrologi setempat.

Percambahan biji benih yang tidak seragam menyebabkan kemunculan populasi secara berperingkat, termasuk selepas pelaksanaan kawalan awal. Situasi ini menyukarkan pengurusan kerana aplikasi racun rumpai atau kawalan mekanikal pada masa tertentu mungkin tidak mencukupi untuk menghapuskan keseluruhan populasi rumpai ini. Dalam infestasi yang tinggi, rumpai ini bersaing secara agresif dengan tanaman padi untuk mendapatkan nutrien dan ruang tumbesaran, lalu akan mengurangkan bilangan tunas padi yang menghasilkan malai dan seterusnya menurunkan hasil padi. Pada kepadatan keladi agas sebanyak 50 pokok/m², rumpai ini dilaporkan mampu menjejaskan hasil padi melebihi 40 peratus dan mendorong kepada peningkatan bank benih rumpai ini untuk musim penanaman berikutnya.

Persaingan awal antara keladi agas dengan tanaman padi di sawah.

Walaupun kawalan kimia berkesan dan digunakan secara meluas, kebergantungan berulang terhadap racun rumpai tertentu telah membawa kepada perkembangan kerintangan. Kerintangan terhadap racun rumpai perencat enzim acetolactate synthase (ALS, HRAC Kumpulan 2) telah dilaporkan di Jepun pada tahun 1998 yang melibatkan kerintangan rumpai M. vaginalis terhadap perawis aktif bensulfuron-methyl. Laporan kerintangan ini kemudiannya turut dikenal pasti di beberapa negara Asia lain seperti China, Korea Selatan dan Indonesia.

Penggunaan berulang bahan aktif seperti bensulfuron-methyl tanpa penggiliran dikenal pasti sebagai faktor utama yang mendorong perkembangan kerintangan. Di sesetengah negara, kerintangan silang terhadap bahan aktif lain dalam kumpulan mekanisme tindakan yang sama turut dilaporkan. Tekanan seleksi berterusan akibat penggunaan racun rumpai ALS tanpa strategi pengurusan kerintangan yang sistematik mempercepat evolusi populasi ini. Implikasi kerintangan bukan sahaja melibatkan kegagalan kawalan di lapangan, malah meningkatkan kos pengeluaran akibat keperluan menggunakan bahan alternatif atau campuran racun rumpai. Sekiranya tidak ditangani secara sistematik, masalah ini boleh menjejaskan kestabilan pengeluaran padi dan pendapatan petani.

Secara konvensional, strategi pengurusan rumpai di sawah padi memberikan tumpuan kepada kawalan dalam tempoh kritikal persaingan, iaitu fasa awal pertumbuhan tanaman sehingga kanopi padi mampu menekan rumpai secara semula jadi. Kawalan awal penting untuk memaksimumkan daya saing tanaman dan meminimumkan kehilangan hasil. Kebergantungan tinggi terhadap kawalan kimia telah menjadi pendekatan utama kerana keberkesanannya yang cepat, kos buruh lebih rendah dan kesesuaiannya pada skala penanaman yang luas.

Di Malaysia, pengurusan M. vaginalis dijalankan melalui aplikasi racun rumpai daripada pelbagai kumpulan kimia yang mempunyai mod tindakan berbeza. Antaranya termasuklah auksin sintetik seperti 2,4-D dan MCPA, perencat ALS seperti bensulfuron-methyl dan bispyribac-sodium, racun rumpai pracambah seperti pretilachlor dan pendimethalin serta racun rumpai pascacambah seperti propanil dan bentazone. Pendekatan ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan kawalan serta memperluas julat rumpai sasaran dalam sistem penanaman padi. Pada masa yang sama, formulasi campuran seperti propanil + thiobencarb dan pretilachlor + florpyrauxifen-benzyl mencerminkan pendekatan pengurusan kimia bersepadu untuk meningkatkan keberkesanan serta mengurangkan tekanan pemilihan terhadap satu mod tindakan sahaja. Secara keseluruhannya, kepelbagaian perawis aktif ini menunjukkan strategi kawalan yang komprehensif, namun memerlukan penggiliran mod tindakan secara sistematik bagi memastikan keberkesanan jangka masa panjang dan meminimumkan risiko kerintangan.

Kantung dan biji benih keladi agas yang berpotensi membentuk bank benih dalam tanah.

Sehubungan dengan itu, pendekatan pengurusan rumpai bersepadu atau Integrated Weed Management (IWM) menjadi keperluan dalam sistem penanaman padi moden. Pendekatan ini menekankan integrasi strategi kawalan bagi mengurangkan tekanan seleksi terhadap racun rumpai dan memaksimumkan keberkesanan pengurusan. Penggiliran mod tindakan racun rumpai perlu diamalkan untuk mengelakkan penggunaan berulang bahan aktif daripada kumpulan sama. Penggunaan campuran tangki (tank mixture) atau semburan berjujukan (sequential spraying) daripada kelas berbeza dapat melambatkan evolusi kerintangan dengan menyerang rumpai melalui mekanisme biokimia berlainan. Selain kawalan kimia, amalan agronomi seperti pengurusan air, pelarasan tarikh penanaman, peningkatan kepadatan tanaman dan varieti padi kompetitif membantu menekan percambahan rumpai. Kawalan mekanikal dan penyingkiran sebelum biji benih rumpai matang penting bagi mengurangkan bank benih.

Pemantauan populasi rumpai secara berkala, termasuk penilaian tahap sensitiviti terhadap racun rumpai, membolehkan pengesanan awal perkembangan kerintangan dan pelarasan strategi kawalan dengan segera. Pendidikan serta latihan kepada petani mengenai risiko penggunaan satu mod tindakan secara berterusan turut memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan amalan terbaik di lapangan. Secara keseluruhan, M. vaginalis merupakan rumpai akuatik yang mempunyai implikasi agroekologi dan ekonomi yang signifikan dalam sistem penanaman padi. Keupayaan adaptasi yang tinggi, potensi reproduktif yang besar serta perkembangan kerintangan terhadap racun rumpai menjadikannya ancaman utama terhadap kemampanan pengeluaran padi. Kebergantungan berlebihan terhadap racun rumpai tertentu tanpa penggiliran dan integrasi kaedah lain akan mempercepat evolusi kerintangan serta meningkatkan kos pengeluaran.

Noor Arif Aizuddin Noor Rahim,
Fakulti Perladangan dan Agroteknologi,
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, Kampus Arau.
Nur Hidayatul Syazwani Suhaimi,
Fakulti Sains Gunaan,
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, Kampus Arau.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi