Diterbitkan pada 23 Jun 2026, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bintulu – Pembelajaran berasaskan pengalaman melalui aktiviti lapangan dan program berasaskan komuniti seperti Service–Learning Malaysia–University for Society (SULAM) perlu terus diperkasakan bagi menarik minat generasi muda terhadap sektor pertanian serta melahirkan pewaris yang berilmu, berkemahiran dan berdaya inovasi demi memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Sesi soal jawab antara pelajar Diploma Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dengan petani tempatan semasa program SULAM.

Keperluan melahirkan lebih banyak generasi muda dalam sektor pertanian menjadi semakin penting ketika dunia berdepan dengan peningkatan permintaan makanan susulan pertambahan populasi global yang dijangkakan mencecah 9.7 bilion orang menjelang tahun 2050.

Pelajar Diploma FSPH, UPMS mengadakan sesi soal jawab bersama-sama komuniti pertanian tempatan.

Menurut OECDFAO Agricultural Outlook 2024–2033, permintaan makanan dunia dijangkakan meningkat sebanyak 1.1 peratus setahun dan mencapai 20.6 juta terakalori menjelang tahun 2033.

Pelajar Diploma FSPH, UPMS membantu pensyarah menjalankan demonstrasi pengenalan sifat fizikal dan kimia tanah.

Usaha untuk memenuhi permintaan tersebut berdepan dengan pelbagai cabaran termasuklah perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan makanan, urbanisasi dan pembaziran makanan sehingga menjadikan keupayaan sesebuah negara menghasilkan makanan sendiri semakin penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Sesi bergambar bersama-sama kumpulan pelaksana SULAM, wakil Jabatan Pertanian Bintulu dan petani tempatan Bintulu.

Bagi memperkukuh sistem agromakanan negara, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030), namun Malaysia masih bergantung pada import untuk memenuhi sebahagian keperluan makanan apabila tahap sara diri atau self-sufficiency ratio (SSR) beras pada tahun 2024 hanya 52.9 peratus, manakala kadar kebergantungan import bagi daging kambing dan daging lembu masing-masing mencecah 92.1 peratus dan 83.5 peratus.

Pelajar Diploma FSPH, UPMS ketika melakukan aktiviti penanaman bendi.

Keadaan itu menunjukkan sektor pertanian negara memerlukan lebih banyak tenaga, khususnya golongan muda yang berpengetahuan, berkemahiran dan celik teknologi bagi memastikan kelangsungan pengeluaran makanan negara, lebih-lebih lagi apabila penggunaan dron, penderia pintar, Internet benda, kecerdasan buatan, sistem pertanian tepat dan automasi telah mengubah landskap pertanian menjadi lebih moden, cekap dan berdaya saing.

Pelajar Diploma FSPH, UPMS memberikan tunjuk ajar mengenai teknik penanaman bendi dalam polibeg kepada komuniti setempat.

Institusi pendidikan turut memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi pewaris pertanian melalui pembelajaran di bilik kuliah yang dihubungkan dengan masyarakat menerusi aktiviti lapangan, lawatan dan program berasaskan komuniti yang membolehkan mahasiswa berinteraksi secara langsung dengan petani, usahawan tani dan komuniti setempat.

Sesi demonstrasi teknik pemangkasan pokok bendi.

Sebagai contohnya, pengetahuan yang diperoleh melalui Kursus Sains Tanah boleh diterjemahkan kepada aktiviti pemindahan ilmu bersama-sama komuniti bagi membantu petani mengenal pasti sifat fizikal dan kimia tanah untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan tanaman dan penggunaan input pertanian secara lebih efisien.

Pelajar Diploma FSPH, UPMS memberikan bimbingan mengenai teknik pemangkasan pokok bendi kepada komuniti setempat.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman itu bukan sahaja memperkukuh kefahaman mahasiswa terhadap sektor pertanian, malah membuka ruang kepada mereka melihat bidang tersebut daripada perspektif yang lebih luas meliputi keusahawanan, pemasaran, teknologi, pengurusan sumber, pembangunan komuniti dan kelestarian alam sekitar.

Sesi bergambar bersama-sama komuniti tempatan semasa pelaksanaan program SULAM.

Melalui pendekatan itu juga, mahasiswa berpotensi menceburi pelbagai laluan kerjaya termasuklah sebagai usahawan agro, pegawai pengembangan, penyelidik, pakar teknologi pertanian, perunding industri dan pemimpin yang menyumbang kepada pembangunan sektor agromakanan negara.

Pelajar Sarjana Muda FSPH, UPMS mengadakan sesi perkongsian bersama-sama pihak industri semasa lawatan akademik.

Selain memperkaya pengalaman pembelajaran, program seperti SULAM turut membantu membangunkan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa melalui pelibatan dalam pengurusan program, kerja berpasukan, komunikasi, penyelesaian masalah serta interaksi dengan masyarakat yang dapat memupuk keyakinan diri, empati dan tanggungjawab sosial.

Pelajar Sarjana Muda FSPH, UPMS didedahkan kepada teknologi dron pertanian semasa lawatan ke industri.

Kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut memberikan peluang kepada pelajar mengenali teknologi terkini termasuklah pengurusan tanaman moden, teknik cantuman pokok, amalan pertanian baik dan pertanian pintar yang mampu meningkatkan minat serta membuka peluang kerjaya dan keusahawanan dalam sektor tersebut.

Sesi bergambar bersama-sama pihak industri semasa lawatan akademik.

Keterjaminan makanan bukan sekadar tanggungjawab petani atau sektor pertanian semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen bersama kerajaan, institusi pendidikan, industri dan masyarakat bagi memastikan negara memiliki generasi muda yang bersedia menerajui pembangunan sektor agromakanan serta menjamin kelestarian negara pada masa hadapan.

Pelajar Diploma FSPH, UPMS didedahkan kepada teknik cantuman pokok limau semasa lawatan akademik ke Stesen Pertanian, Jabatan Pertanian Bintulu.
Sesi bergambar bersama-sama pegawai Jabatan Pertanian semasa lawatan akademik.
Pelajar Diploma FSPH, UPMS didedahkan kepada pengenalan pokok durian, termasuklah varieti dan amalan penanamannya.
Pelajar Diploma FSPH, UPMS didedahkan kepada pengurusan tapak semaian kopi.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi