Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sebanyak 10 orang penyelidik Malaysia telah dipilih menyertai Malaysia Science Endowment (MSE) Malaysia–China Science and Technology People-to-People Exchange Programme 2025.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan, program ini akan menempatkan penyelidik Malaysia berkenaan selama enam bulan di institusi penyelidikan, universiti dan syarikat terpilih di Republik Rakyat China.
Katanya,
Program ini bertujuan untuk memperkukuh diplomasi sains, memperluas jaringan penyelidikan dua hala serta membina keupayaan negara dalam bidang teknologi strategik.
MOSTI berkata, inisiatif ini merupakan susulan daripada pemeteraian memorandum persefahaman Program Pertukaran Kepakaran dalam Sains dan Teknologi antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Republik Rakyat China pada 19 Jun 2024 bersempena dengan lawatan rasmi Premier Republik Rakyat China, TYT Li Qiang ke Malaysia.
Tambahnya, program ini turut menyokong usaha kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan, pemindahan teknologi, pertukaran kepakaran serta pembangunan bidang teknologi baharu.
Maklumnya, pengumuman mengenai penyertaan peserta Malaysia itu diadakan bersempena dengan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia–China mengenai Kerjasama Sains, Teknologi dan Inovasi Kali Ke-4 antara Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Chang Lih Kang dengan Timbalan Menteri Sains dan Teknologi, Republik Rakyat China, PYT Lin Xin di Putrajaya.
YB Datuk Chang Lih Kang berkata, inisiatif yang dijayakan menerusi dana MSE ini melambangkan satu pelaburan strategik yang melangkaui skop pertukaran penyelidik biasa.
Ujarnya,
MSE bukan sahaja memacu inovasi industri dan memperkukuh kerjasama antarabangsa, malah melalui program seperti ini dapat memangkin pembangunan kapasiti, selain membuka peluang kepada akses kepakaran dan fasiliti bertaraf dunia serta mempercepat pembangunan penyelesaian dalam bidang yang penting kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara, Academician Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc berkata, sebagai agensi pelaksana MSE, ASM melihat program ini sebagai pelaburan dalam pembangunan bakat, rangkaian dan keupayaan negara.
Katanya, penyelidik yang terpilih bukan sahaja membawa nama Malaysia tetapi akan kembali dengan pengetahuan, hubungan strategik dan potensi kerjasama baharu yang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh ekosistem sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) negara.
Menurut MOSTI, penyelidik yang terpilih telah dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Projek ASM yang dipengerusikan oleh Naib Presiden ASM, Academician Profesor Ulung Datuk Dr. Looi Lai Meng FASc.
“Bidang tumpuan program ini merangkumi bahan termaju, kecerdasan buatan, penyimpanan tenaga, vaksin manusia, teknologi angkasa, blok rantai (blockchain) dan mikroelektronik,” maklumnya.
Para peserta juga dikehendaki menyediakan laporan dan video impak pada akhir program, selain berkongsi pengetahuan melalui bimbingan atau sesi perkongsian di institusi masing-masing.
Ujarnya, langkah ini adalah untuk memastikan manfaat program tidak terhad kepada peserta, tetapi turut diperluas kepada komuniti penyelidikan tempatan.