Diterbitkan pada 22 Jun 2026, 16:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pernahkah anda melihat dua pokok yang kelihatan hampir sama, tetapi sebenarnya merupakan spesies yang berbeza? Bagi ahli botani, situasi seperti ini bukanlah sesuatu yang luar biasa, tetapi antara cabaran utama dalam usaha mengenal pasti dan mengkaji kepelbagaian tumbuhan di hutan tropika. Satu daripada kumpulan tumbuhan yang sering menimbulkan kekeliruan ialah pokok kelat atau genus Syzygium. Dengan jumlah spesies yang banyak serta variasi bentuk yang tinggi, genus ini menjadi antara kumpulan tumbuhan yang paling mencabar untuk dikenal pasti dan diklasifikasikan.

Syzygium zeylanicum, pokok kelat yang mudah ditemukan di pinggir hutan dan mempunyai bunga berwarna putih.

Apabila menyebut tentang pokok kelat, kebanyakan orang tidak mengenali tumbuhan ini. Tahukah anda bahawa beberapa jenis buah-buahan dan rempah yang sering digunakan tergolong dalam kumpulan pokok kelat? Antaranya termasuklah jambu air (Syzygium aqueum), bunga cengkih (Syzygium aromaticum) dan daun salam (Syzygium polyanthum). Pokok kelat tergolong dalam famili Myrtaceae, iaitu keluarga tumbuhan yang turut merangkumi pokok Eucalyptus dan gelam.

Pada peringkat global, genus Syzygium dianggarkan mempunyai lebih daripada 1000 spesies dan menjadikannya antara genus tumbuhan berbunga yang terbesar di dunia. Kawasan Asia Tenggara, termasuklah Malaysia dan Borneo merupakan antara pusat kepelbagaian utama bagi genus ini. Di Semenanjung Malaysia dan Borneo, lebih kurang 190 spesies hingga 200 spesies kelat telah direkodkan.

Keistimewaan pokok kelat terletak pada keupayaannya menyesuaikan diri dengan pelbagai jenis habitat. Di Malaysia, spesies ini boleh ditemukan dari hutan tanah pamah hingga hutan pergunungan, hutan paya air tawar, hutan paya gambut dan kawasan pesisir pantai. Sesetengah spesies hidup subur di kawasan tanah yang sentiasa lembap, manakala spesies lain mampu bertahan di kawasan yang lebih kering dan berbatu. Keupayaan hidup di kepelbagaian habitat menjadikan pokok kelat sebagai satu daripada komponen penting dalam landskap hutan negara.

Ciri Pokok Kelat

Genus Syzygium mudah dikenal pasti dengan ciri umum daunnya. Daun kelat biasanya tersusun secara bertentangan pada ranting, bertekstur agak tebal dan mempunyai urat daun yang jelas. Urat lateral membentuk gelung pada margin daun. Jika daun diramas, sesetengah spesies mengeluarkan aroma yang tersendiri kerana kehadiran minyak pati, satu ciri yang lazim dalam famili Myrtaceae.

Bunga bagi spesies ini pula biasanya berwarna putih, krim atau merah jambu dengan sejumlah besar stamen yang memberikan rupa seperti berus halus. Buahnya hadir dalam pelbagai bentuk seperti bulat dan berbentuk loceng. Saiz buah berbeza-beza daripada kecil sebesar guli hinggalah buah yang lebih besar dan berisi. Kebanyakan pokok kelat mempunyai beberapa ciri yang hampir sama. Persamaan ciri ini menjadi punca kebanyakan spesies kelat sukar dibezakan. Walau bagaimanapun, untuk mengenal pasti pokok kelat hingga peringkat spesies, beberapa ciri morfologi perlu digabungkan seperti ciri daun, bunga dan buah atau ciri mikroskopik tertentu.

Buah kelat berbentuk loceng yang bersaiz kecil antara 0.5 sentimeter hingga 1.5 sentimeter panjang.
Jambak bunga kelat yang berwarna merah.

Peranan dalam Ekosistem Hutan

Pokok kelat bukan sekadar sebahagian daripada kepelbagaian flora hutan, namun turut memainkan pelbagai fungsi ekologi yang penting. Buah-buahannya menjadi sumber makanan kepada pelbagai jenis hidupan liar seperti primat, tupai, burung dan kelawar. Buah kelat mempunyai rasa yang kelat, masam dan kadangkala sedikit manis. Biji benih buah yang dimakan oleh haiwan pemakan buah akan disebarkan ke kawasan lain. Proses penyebaran biji benih ini berlaku secara semula jadi yang dapat membantu memastikan kesinambungan populasi pokok kelat secara tidak langsung, sekali gus meningkatkan regenerasi hutan.

Faktor Pokok Kelat Sukar Dikenal Pasti

Bagi ahli taksonomi tumbuhan, genus Syzygium sering dianggap sebagai antara kumpulan tumbuhan yang paling mencabar untuk dikaji. Antara faktor utamanya termasuklah bilangan spesies yang sangat banyak serta kewujudan variasi morfologi yang luas. Dalam sesetengah keadaan, individu daripada spesies yang sama boleh menunjukkan perbezaan bentuk daun, saiz pokok atau warna buah akibat pengaruh habitat dan persekitaran. Sebaliknya, dua spesies yang berbeza pula mungkin mempunyai rupa yang hampir serupa.

Keadaan ini menyebabkan proses pengenalpastian spesies memerlukan pemerhatian yang lebih teliti. Selain daun, ciri pada bahagian bunga dan buah sangat membantu dalam proses pengenalpastian spesies kelat. Sampel pokok kelat akan dibandingkan dengan spesimen rujukan yang disimpan di herbarium. Herbarium berfungsi sebagai pusat penyimpanan spesimen tumbuhan yang penting untuk tujuan penyelidikan, dokumentasi dan pengesahan identiti spesies.

Teknologi Moden Membantu Saintis

Perkembangan teknologi molekul telah membuka dimensi baharu dalam kajian taksonomi tumbuhan. Jika sebelum ini pengenalpastian spesies banyak bergantung pada ciri morfologi yang terdapat pada daun, bunga, buah dan sebagainya, kini saintis turut menggunakan maklumat asid deoksiribonukleik (DNA) untuk membantu menentukan hubungan antara spesies dengan pengecaman identiti. DNA boleh dianggap sebagai “cap jari genetik” yang menyimpan maklumat unik bagi setiap organisma. Melalui analisis DNA, saintis dapat mengenal pasti spesies dengan lebih tepat serta memahami hubungan evolusi antara kumpulan tumbuhan yang berbeza.

Bagi genus Syzygium, penggunaan teknologi molekul sedang giat dijalankan. Masih banyak spesies yang perlu disampelkan untuk mendapatkan set maklumat DNA bagi setiap spesies ini. Hasil kajian yang dijalankan dapat membantu menyelesaikan pelbagai persoalan yang sukar dijawab melalui pemerhatian morfologi semata-mata. Maklumat ini bukan sahaja penting untuk tujuan penyelidikan, malah membantu usaha pemuliharaan spesies dalam kategori langka atau terancam.

Kepentingan kepada Pemuliharaan

Aktiviti perubahan guna tanah yang semakin rancak bagi memenuhi pelbagai kepentingan telah menyebabkan kawasan hutan dunia dalam keadaan terancam. Untuk menangani isu ini, pemahaman terhadap kepelbagaian biodiversiti amat penting bagi mengetahui status setiap organisma sebelum langkah pemuliharaan dan perlindungan dapat diambil. Adalah sukar untuk melindungi sesuatu spesies sekiranya identiti spesies itu tidak diketahui dengan jelas.

Melalui kajian taksonomi yang tepat, saintis dapat menentukan taburan sebenar sesuatu spesies, mengenal pasti tahap ancaman yang dihadapinya dan mencadangkan langkah pemuliharaan yang bersesuaian.

Bagi Malaysia yang diiktiraf sebagai antara negara yang kaya dengan megabiodiversiti di dunia, usaha mendokumentasikan kepelbagaian tumbuhan menjadi matlamat utama dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan. Usaha ini penting bukan sahaja untuk memahami kepelbagaian genetik, spesies dan ekosistem, malah bagi memastikan kelangsungan flora negara seperti pokok kelat terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Pokok Syzygium zeylanicum menghasilkan bunga yang rimbun apabila tiba musimnya.

Secara keseluruhannya, walaupun kurang dikenali berbanding dengan beberapa kumpulan tumbuhan lain, pokok kelat merupakan komponen penting dalam landskap hutan Malaysia. Kepelbagaian spesiesnya yang tinggi, keupayaannya menyesuaikan diri dengan pelbagai habitat serta peranannya dalam ekosistem menjadikan genus Syzygium amat signifikan dari sudut saintifik dan pemuliharaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi