Diterbitkan pada 19 Jun 2026, 15:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Apabila tiupan wisel untuk perlawanan pertama Piala Dunia FIFA 2026 dimulakan di Stadium Azteca, Mexico City, perhatian dunia sudah tentu terarah pada aksi pemain terbaik dunia. Penyokong mahu melihat jaringan cantik, aksi dramatik dan kejutan yang sering menjadi sebahagian daripada sejarah kejohanan paling berprestij tersebut. Namun demikian, di sebalik sorakan puluhan ribu penonton di stadium dan jutaan peminat di seluruh dunia, satu lagi “pemain” sedang bekerja tanpa henti. Pemain tersebut bukan manusia, bukan jurulatih dan bukan juga pengadil. Pemain itu ialah kecerdasan buatan (AI).

Kemajuan dunia tanpa sempadan telah memungkinkan Piala Dunia FIFA 2026 dianggap sebagai kejohanan paling berteknologi tinggi dalam sejarah bola sepak moden. Buat pertama kalinya, semua pasukan yang bertanding diberikan capaian kepada sistem AI yang mampu menganalisis pergerakan pemain, corak taktikal pasukan dan pelbagai data perlawanan yang boleh dicapai secara masa nyata (real time). Malah, pada edisi kali ini, FIFA turut memperkenalkan avatar digital tiga dimensi pemain yang dibina melalui imbasan badan bagi membantu dalam proses pengadilan dan analisis perlawanan.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa bola sepak tidak lagi hanya bergantung pada bakat, pengalaman dan gerak hati manusia semata-mata. Sebaliknya, sukan paling popular di dunia itu kini memasuki era baharu yang dipacu oleh data, algoritma dan kecerdasan mesin.

Bola Sepak dalam Era Revolusi Data

Jika dahulu jurulatih menonton rakaman video berulang kali untuk mengkaji kekuatan dan kelemahan lawan, kini tugas tersebut boleh dilakukan dengan mudah oleh AI, dalam masa hitungan beberapa detik sahaja.

Sepanjang satu perlawanan, seorang pemain bola sepak profesional boleh berlari antara 10 kilometer (km) hingga 13 km. Dalam tempoh 90 minit itu juga, ribuan data direkodkan melibatkan kelajuan larian, jarak pergerakan, kedudukan pemain, arah hantaran, kadar denyutan jantung dan pelbagai maklumat lain. Jumlah data yang dihasilkan oleh 22 orang pemain di atas padang adalah terlalu besar untuk dianalisis secara manual. Di sinilah AI memainkan peranannya.

Melalui sistem analitik pintar yang dibangunkan FIFA bersama Lenovo, data daripada setiap perlawanan diproses hampir secara masa nyata. Jurulatih boleh bertanya kepada sistem menggunakan bahasa biasa seperti, “Apakah kelemahan pertahanan sebelah kiri lawan?” atau “Pemain manakah yang paling berkesan ketika melakukan serangan balas?” Dalam beberapa saat, AI akan menghasilkan jawapan berdasarkan ribuan situasi permainan yang pernah direkodkan sebelum ini.

Keupayaan ini akan menjadikan proses membuat keputusan lebih pantas dan tepat. Dalam bola sepak moden yang sangat kompetitif, perbezaan kecil boleh menentukan sama ada sesebuah pasukan mampu mara ke pusingan seterusnya atau tersingkir daripada kejohanan.

AI sebagai Pembantu Juulatih

Rata-rata orang beranggapan bahawa AI akan menggantikan jurulatih. Namun demikian, hakikatnya tidak sebegitu mudah, sama seperti sektor lain. AI berfungsi sebagai pembantu manusia untuk membuat keputusan yang lebih baik berdasarkan data yang komprehensif. Jurulatih tetap berperanan dalam menentukan strategi, memilih pemain dan membuat pertukaran ketika perlawanan berlangsung. Sebagai contohnya, jika AI mendapati seseorang pemain mula menunjukkan tanda kelesuan yang boleh menjejaskan prestasi permainannya, jurulatih boleh mempertimbangkan untuk menggantikannya lebih awal daripada yang difikirkan. Semasa perlawanan berlangsung, jika sistem mengesan bahawa lawan sering meninggalkan ruang kosong di bahagian tertentu padang, maklumat tersebut boleh digunakan untuk merancang serangan balas yang lebih berkesan.

Dalam erti kata lain, AI membantu mengurangkan unsur tekaan dan meningkatkan ketepatan dalam membuat keputusan. Namun begitu, banyak penyelidik sukan mengingatkan bahawa data sahaja tidak mencukupi. Keadaan emosi pemain, tekanan perlawanan dan faktor psikologi masih memerlukan pertimbangan manusia. Oleh sebab itu, AI perlu dilihat sebagai alat sokongan dan bukannya pengganti kepada kepakaran manusia.

Memantau Kesihatan Pemain secara Lebih Pintar

Selain membantu dari aspek taktikal, AI turut memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan para pemain. Dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia, pemain terpaksa beraksi dalam jadual yang padat. Perjalanan antara bandar dan negara, perubahan cuaca, tekanan mental serta tahap intensiti permainan yang tinggi merupakan antara faktor yang berpotensi untuk meningkatkan risiko kecederaan.

Piala Dunia edisi kali ini melibatkan 104 perlawanan yang berlangsung di 16 bandar di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. Jarak perjalanan yang jauh, faktor altitud dan cuaca panas dijangkakan memberikan cabaran besar kepada pemain dan pegawai pasukan.

Bagi mengurangkan risiko tersebut, banyak pasukan yang bertanding menggunakan peranti boleh pakai atau wearables yang dipasang pada badan pemain semasa latihan. Peranti ini mengumpulkan pelbagai maklumat seperti kadar denyutan jantung, tahap keletihan otot, pola tidur dan tahap pemulihan fizikal. Data tersebut kemudiannya dianalisis oleh AI bagi mengenal pasti tanda awal kecederaan atau keletihan melampau.

Jika sistem mengesan risiko yang tinggi, jurulatih dan pegawai perubatan boleh mengambil tindakan lebih awal seperti mengurangkan tahap intensiti latihan atau memberikan masa rehat tambahan kepada pemain berkenaan. Pendekatan ini semakin penting kerana kecederaan bukan sahaja menjejaskan prestasi individu, malah boleh mengubah keseluruhan strategi pasukan.

Pengadil Digital dan Bola Pintar

Satu daripada inovasi yang paling mendapat perhatian pada Piala Dunia 2026 ialah penggunaan avatar digital pemain. Setiap pemain menjalani proses pengimbasan badan untuk menghasilkan model tiga dimensi (3D) mereka yang sangat terperinci. Avatar digital ini membolehkan sistem AI menjejak pergerakan pemain dengan ketepatan yang lebih tinggi semasa perlawanan berlangsung.

Teknologi ini digunakan bersama dengan sistem Video Assistant Refree (VAR) dan kamera beresolusi tinggi bagi membantu pengadil membuat keputusan berkaitan dengan ofsaid, sentuhan tangan (terkena bola atau tidak) dan pelbagai insiden kontroversi yang lain.

Selain itu, bola rasmi kejohanan kali ini, Adidas TRIONDA turut dilengkapi dengan sensor khas yang mampu menghantar data secara langsung kepada sistem analisis. Sensor ini membantu menentukan sentuhan terakhir pemain, arah pergerakan bola dan beberapa maklumat teknikal lain yang sukar dikesan oleh mata manusia. Sebelum digunakan dalam perlawanan, bola ini akan dicas terlebih dahulu. Matlamat utama penggunaan teknologi ini bukan untuk menggantikan pengadil, tetapi untuk meningkatkan ketepatan dan konsistensi sesuatu keputusan tersebut dibuat.

Walaupun elemen kontroversi dalam bola sepak mungkin tidak akan hilang sepenuhnya, penggunaan teknologi AI sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesilapan yang berpunca daripada keterbatasan manusia.

Pengalaman Baharu untuk Penonton

Teknologi AI bukan sahaja mengubah cara bola sepak dimainkan, malah mengubah caranya ditonton. Pada masa lalu, penonton hanya melihat perkara yang berlaku di atas padang. Kini, dengan kemajuan AI, mereka boleh mencapai pelbagai statistik, analisis dan visualisasi data secara masa nyata semasa perlawanan berlangsung.

Sebagai contohnya, AI boleh menghasilkan sorotan perlawanan secara automatik, mengenal pasti saat penting dalam sesuatu perlawanan dan menyediakan analisis taktikal dalam masa beberapa minit selepas sesuatu insiden berlaku. Penonton juga boleh melihat pergerakan pemain melalui model tiga dimensi, memahami keputusan VAR dengan lebih jelas dan menikmati pengalaman tontonan yang lebih interaktif. Bagi generasi muda yang membesar dalam dunia digital, pendekatan ini menjadikan bola sepak lebih menarik dan mudah difahami.

AI Menjaga Keselamatan Jutaan Penyokong

Piala Dunia bukan sekadar pertandingan bola sepak, sebaliknya merupakan acara dunia yang menghimpunkan jutaan manusia dari pelbagai negara, budaya dan bahasa. Dalam Piala Dunia 2026, cabaran keselamatan menjadi lebih kompleks kerana kejohanan berlangsung di tiga buah negara, melibatkan 16 bandar dan lebih 100 perlawanan.

Bagi menguruskan pergerakan jutaan penyokong, sistem AI digunakan untuk menganalisis data daripada kamera keselamatan, sensor pergerakan dan sistem pemantauan digital. Melalui teknologi pelihatan komputer (computer vision), sistem mampu untuk mengesan kesesakan luar biasa, mengenal pasti aliran pergerakan orang ramai dan memberikan amaran awal sekiranya terdapat situasi yang berpotensi mencetuskan risiko keselamatan. Dalam situasi tertentu, AI boleh membantu pihak berkuasa mengesan kawasan yang semakin sesak sebelum berlaku insiden rempuhan atau panik dalam kalangan penonton. Keupayaan membuat ramalan awal ini amat penting kerana tindakan pencegahan selalunya lebih berkesan daripada tindakan selepas sesuatu kejadian tersebut berlaku.

Pada masa yang sama, teknologi AI turut digunakan untuk membantu pengurusan trafik, sistem pengangkutan awam dan aliran keluar masuk penonton di stadium. Dengan jumlah penonton yang boleh mencecah puluhan ribu orang bagi setiap perlawanan, pengurusan logistik yang cekap menjadi faktor penting dalam memastikan kejohanan berjalan lancar.

Apabila AI Melindungi Pemain dalam Media Sosial

Cabaran yang dihadapi pemain bola sepak hari ini tidak lagi terhad kepada perkara yang berlaku di atas padang. Penggunaan media sosial secara berleluasa tanpa had dan sekatan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat umur telah membuka ruang kepada penyokong untuk berinteraksi secara langsung dengan pemain, tetapi pada masa yang sama turut menjadi saluran kepada penyebaran kebencian, perkauman dan gangguan dalam talian.

Selepas beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini, banyak pemain melaporkan telah menerima ribuan mesej berunsur penghinaan, ugutan dan diskriminasi. Dalam sesetengah kes, gangguan tersebut memberikan kesan kepada kesihatan mental pemain dan keluarga terdekat mereka.

Bagi menangani masalah ini, FIFA memperluas penggunaan AI untuk memantau kandungan media sosial sepanjang Piala Dunia 2026 berlangsung. Sistem tersebut mampu mengimbas jutaan hantaran dalam pelbagai bahasa dan mengenal pasti kandungan yang mengandungi unsur kebencian, perkauman atau ancaman.

Walaupun teknologi ini tidak dapat menghapuskan sepenuhnya budaya toksik dalam talian, sekurang-kurangnya teknologi ini dapat membantu mengurangkan pendedahan pemain kepada kandungan yang boleh menjejaskan kesejahteraan mental mereka. Perkembangan ini menunjukkan bahawa AI bukan sekadar alat untuk meningkatkan prestasi sukan, tetapi juga boleh berfungsi sebagai mekanisme perlindungan sosial dalam era digital.

Di Sebalik Teknologi, Wujud Persoalan Etika

Setiap kemajuan teknologi biasanya datang bersama-sama persoalan baharu. Begitu juga dengan penggunaan AI dalam Piala Dunia kali ini, termasuklah berkaitan dengan kerahsiaan data. Untuk membolehkan AI berfungsi dengan berkesan, sejumlah besar data perlu dikumpulkan daripada pemain. Data tersebut bukan sahaja melibatkan prestasi permainan, malah merangkumi keadaan fizikal, tahap kecergasan dan maklumat kesihatan individu.

Persoalan utama di sini, siapakah pemilik sebenar data tersebut? Adakah data itu milik pemain, pasukan, FIFA atau syarikat teknologi yang membangunkan sistem AI? Persoalan ini menjadi semakin penting apabila data sukan mula dianggap sebagai aset yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Pada masa hadapan, data pemain mungkin digunakan bagi tujuan komersial, pembangunan produk atau penyelidikan. Oleh itu, perlindungan data dan persetujuan penggunaan maklumat menjadi isu yang perlu diberikan perhatian serius.

Selain itu, kebocoran data juga berpotensi untuk menimbulkan risiko yang besar. Maklumat berkaitan dengan kecederaan atau tahap kecergasan pemain, misalnya boleh memberikan kelebihan kepada pihak lawan sekiranya jatuh ke tangan yang salah.

Bolehkah AI Membuat Kesilapan?

Banyak orang menganggap keputusan yang dihasilkan oleh komputer sentiasa tepat. Hakikatnya tidak semestinya begitu. AI belajar daripada data yang diberikan kepadanya. Jika data tersebut tidak lengkap, berat sebelah atau mengandungi kesilapan, keputusan yang dihasilkan juga boleh menjadi tidak tepat. Frasa garbage in, garbage out (GOGO) lebih tepat untuk menggambarkan keadaan ini.

Dalam konteks sukan bola sepak, AI mungkin mampu mengenal pasti corak permainan tertentu, tetapi tidak semestinya AI memahami faktor psikologi, tekanan emosi atau situasi unik yang berlaku semasa perlawanan.

Seorang pemain mungkin kelihatan letih berdasarkan data yang direkodkan, tetapi sebenarnya masih mampu menghasilkan aksi terbaik kerana motivasi yang tinggi. Sebaliknya, pemain yang kelihatan cergas secara fizikal mungkin gagal beraksi baik kerana tekanan mental yang tidak dapat diukur oleh sensor.

Atas sebab itu, ramai saintis sukan menegaskan bahawa AI perlu dilihat sebagai alat bantuan dan bukannya pengganti kepada pertimbangan manusia. Malah, editor jurnal Science and Medicine in Football, Franco Impellizzeri, mengingatkan bahawa peningkatan jumlah data tidak semestinya membawa peningkatan kualiti keputusan. Cabaran sebenar ialah memahami cara data tersebut boleh digunakan secara bermakna dalam situasi sebenar.

Masa Hadapan Bola Sepak yang Semakin Pintar

Piala Dunia 2026 mungkin hanya permulaan kepada perubahan yang lebih besar. Pada masa hadapan, AI berpotensi membantu proses pencarian bakat muda di seluruh dunia. Sistem AI berkemungkinan boleh mengenal pasti pemain berbakat melalui rakaman video biasa dan menganalisis potensi mereka berdasarkan corak pergerakan, teknik permainan dan prestasi keseluruhan.

Dalam bidang latihan pula, AI mungkin mampu membangunkan program latihan yang disesuaikan secara individu mengikut keperluan setiap pemain (personalized training regiment). Proses pemulihan kecederaan juga boleh menjadi lebih tepat melalui penggunaan model ramalan yang semakin canggih. Sesetengah penyelidik turut membayangkan penggunaan realiti maya dan AI secara serentak bagi membolehkan pemain berlatih dalam persekitaran simulasi yang menyerupai situasi perlawanan sebenar.

Malah, pengalaman penyokong juga dijangka berubah dengan ketara. Penonton mungkin dapat memilih sudut tontonan sendiri, menerima analisis taktikal secara langsung atau berinteraksi dengan avatar digital pemain kegemaran mereka. Walaupun semua ini kedengaran seperti fiksyen sains, banyak teknologi tersebut sebenarnya sedang dibangunkan pada ketika ini.

Antara Manusia dengan Mesin

Sejarah bola sepak sentiasa dipenuhi dengan inovasi. Daripada penggunaan kad kuning dan merah, teknologi garisan gol, VAR sehingga kepada sistem analitik moden, setiap perubahan pada awalnya menerima pelbagai reaksi sebelum akhirnya menjadi sebahagian daripada permainan. AI merupakan fasa terbaharu dalam evolusi tersebut. Namun demikian, satu perkara yang perlu difahami ialah AI tidak akan menjaringkan gol, tidak merasai debaran sebelum sepakan penalti dan tidak mengalami kegembiraan apabila pasukan negara menang atau kesedihan apabila tersingkir daripada kejohanan.

Semua emosi itu kekal menjadi milik manusia. AI hanya menyediakan maklumat, ramalan dan cadangan. Keputusan akhir masih bergantung pada pemain yang berlari di atas padang, jurulatih yang membuat percaturan dan pengadil yang meniup wisel.

Piala Dunia FIFA 2026 memperlihatkan titik pertembungan antara sains, teknologi dan sukan. Daripada pemantauan kesihatan pemain, analisis taktikal, pengadilan yang lebih tepat hingga kepada keselamatan penonton, AI kini menjadi sebahagian daripada ekosistem bola sepak moden.

Cabaran etika, kerahsiaan dan ketelusan sudah tentu akan terus dibincangkan. Namun demikian, jika digunakan secara bertanggungjawab, AI berpotensi menjadikan sukan ini lebih selamat, lebih adil dan lebih menarik untuk generasi akan datang. Mungkin pada masa hadapan, kita bukan lagi bertanya sama ada AI akan menjadi sebahagian daripada bola sepak, tetapi sejauh mana teknologi itu akan membentuk cara manusia bermain, menonton dan memahami permainan yang paling popular di dunia ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi