Diterbitkan pada 16 Jun 2026, 14:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Keterlibatan wanita dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) membuktikan bahawa golongan tersebut mampu menembusi dan cemerlang dalam persekitaran kerja yang didominasi oleh kaum lelaki, sekali gus menepis stereotaip lapuk yang membelenggu masyarakat selama ini.

Forum “Aspirasi TVET Generasi Muda” bersempena dengan Seminar Wanita dalam TVET: Membina Potensi, Mencorak Masa Hadapan Tahun 2026 pada Selasa mengupas perkara berkenaan menerusi perkongsian kejayaan dan pengalaman oleh alumni kolej vokasional tatkala mendepani cabaran persekitaran kerja.

Sesi forum anjuran Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Kementerian Pendidikan yang berlangsung di Auditorium Kompleks E itu dikendalikan oleh Pensyarah Kolej Vokasional (ERT) Azizah, YBrs. Encik Azhar Buhari selaku moderator .

Jurutera Projek, Nur Aina Syafiqah Abdullah mendedahkan bahawa beliau pernah berhadapan dengan masalah penyambungan kontrak atas alasan keselamatan pekerja wanita di tapak projek dan kesukaran bekerja lebih masa.

Walau bagaimanapun, katanya, inisiatif beliau selama ini mengendalikan kesemua urusan dokumentasi projek pada akhirnya melayakkan beliau mendapat kedudukan yang baik dalam kerjayanya ketika ini.

Menurut Aina, sokongan padu daripada ahli keluarga dan majikan memainkan peranan yang besar dalam peningkatan kemahiran demi kemajuan kerjaya.

“Apabila kita memasuki alam pekerjaan, wanita sebenarnya mampu pergi lebih jauh daripada lelaki kerana keupayaan perempuan yang sebenar dapat melakukan pelbagai tugas serentak pada suatu masa,” katanya.

Beliau menyifatkan faktor usia, peranan sebagai ibu, mahupun status perkahwinan tidak seharusnya menjadi halangan bagi wanita untuk terus menuntut ilmu dan meningkatkan tahap kemahiran ke peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, Pegawai Kualiti, Nurqhalessya Zulaikha Nazarudin yang berkecimpung dalam teknologi kimpalan menangkis persepsi bahawa kerja tersebut terlalu lasak bagi golongan wanita kerana perubahan industri masa ini sudah mula mengaplikasikan sistem automasi tanpa bergantung pada kekuatan fizikal semata-mata.

Beliau yang pada awalnya turut berhadapan dengan halangan keluarga menerima sokongan penuh setelah berjaya membuktikan kebolehannya bekerja setanding dengan kaum lelaki.

Jelas Nurqhalessya, pekerja wanita dalam bidang TVET dituntut untuk mempunyai keyakinan dan jati diri yang kukuh, serta melaporkan sebarang insiden ketidakadilan kepada pihak pengurusan atau majikan agar tindakan tegas dapat diambil.

“Cabaran yang dihadapi dalam kerjaya menjadi motivasi untuk kita terus belajar dan membuktikan bahawa wanita juga mampu mempamerkan prestasi yang cemerlang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Penasihat Latihan, Hayatun Nufus Roshisam menegaskan bahawa golongan wanita yang bekerja dalam sektor teknikal perlu berani membuktikan kemahiran yang dimiliki, terutamanya dalam usaha mendapatkan kepercayaan majikan dan rakan sekerja.

Beliau turut menyeru agar ibu bapa menyokong minat anak perempuan mereka untuk meneroka bidang teknikal, selain sentiasa menyertai program promosi TVET bagi meluaskan kefahaman terhadap prospek kerjayanya yang luas.

“Buat ibu bapa, sebaik-baiknya penuhi minat anak walaupun kerjaya itu cenderung kepada bidang lelaki seperti automotif, kimpalan atau elektrik kerana tidak semestinya semua perempuan lemah, jika dia minat, sudah pasti dia akan buat sehabis baik,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa generasi muda tidak perlu gentar untuk mencuba perkara baharu, dan sentiasa konsisten mengejar minat mereka meskipun terpaksa menempuh pelbagai rintangan.

Kredit Foto: Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi