Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh ekosistem pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) negara melalui pelaksanaan Program Pemindahan Ilmu Nanosains yang memberikan penekanan kepada pendedahan awal teknologi nano dalam kalangan pelajar sekolah.
Ketua Penolong Pengarah, Pusat Nanoteknologi Kebangsaan, Encik Ismarul Nizam Ismail berkata, program berkenaan merupakan inisiatif strategik yang melibatkan NNC, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta UPSI dalam usaha memperluas akses ilmu nanosains dan nanoteknologi kepada generasi muda sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran teknologi pada masa hadapan.

Beliau berkata, program pemindahan ilmu tersebut merupakan platform penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan pihak kerajaan bagi membudayakan sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakat.
“Seiring dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 serta Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021–2030, MOSTI komited untuk memperluas akses kepada ilmu pengetahuan dan teknologi terkini melalui pendekatan kolaboratif melibatkan akademia, industri, kerajaan dan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Program Pemindahan Ilmu Nanosains NNC–UPSI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI hari ini.
Tambah beliau, UPSI melalui kepakaran akademik dan penyelidikannya turut giat meneroka pelbagai bidang berkaitan dengan nanosains, termasuklah penggunaan nanobahan dalam pendidikan, sains bahan, tenaga, alam sekitar serta pembangunan inovasi berasaskan teknologi maju.
Beliau berkata, kerjasama strategik antara NNC dengan UPSI dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan modul serta aktiviti pembelajaran STEM berteraskan nanosains pada peringkat sekolah, sekali gus memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.
Ujarnya,
Pendekatan pembelajaran berasaskan eksperimen, demonstrasi makmal, kit pendidikan nanosains serta aktiviti inovasi berpotensi melahirkan lebih banyak pelajar berminat dalam bidang STEM dan menyokong agenda pembangunan bakat teknologi negara.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, YBhg. Profesor Dr. Suriani Abu Bakar berkata, penganjuran program tersebut membuktikan keyakinan NNC terhadap keupayaan universiti itu dalam membangunkan ekosistem pendidikan sains dan teknologi yang berimpak tinggi.

NNC telah menganugerahkan dana berjumlah RM35,706.96 kepada UPSI melalui Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PuLaMI) bagi menjayakan program berkenaan serta turut disokong oleh Pusat Nanoteknologi dan Fakulti Sains dan Matematik, UPSI.
Penganugerahan dana ini bukan sekadar sokongan kewangan, malah merupakan manifestasi kepercayaan NNC terhadap kesungguhan UPSI dalam memperkasakan pendidikan sains dan teknologi serta pembangunan bakat masa hadapan negara.
Menurut beliau, program tersebut melibatkan penyertaan sebanyak 200 orang pelajar daripada 14 buah sekolah sekitar daerah Muallim bersama-sama 14 orang guru pengiring dan 25 orang fasilitator dalam kalangan mahasiswa UPSI dengan sokongan pensyarah serta pakar bidang universiti.
Katanya, peserta telah mengikuti lapan modul nanosains interaktif yang dibangunkan berasaskan pendekatan pembelajaran secara amali dan pengalaman langsung bagi memberikan pemahaman jelas mengenai penggunaan sains dalam kehidupan moden.
Jelasnya,
Pendekatan inklusif ini memastikan pelajar daripada pelbagai latar belakang geografi dan sosioekonomi mendapat peluang yang sama untuk meneroka serta menghargai bidang nanosains dan teknologi.