Diterbitkan pada 15 Jun 2026, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Keterlibatan wanita dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteknologi tinggi memerlukan anjakan paradigma yang inklusif, disokong oleh ekosistem industri yang adil serta ketahanan mental individu untuk bersaing secara sihat tanpa mengharapkan layanan eksklusif.

Sesi forum yang dikendalikan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Perancangan Makro Pendidikan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan (KPM),  YBrs. Dr. Nor Hisham Ismail ini mengupas realiti cabaran wanita dalam industri berat, khususnya dalam sektor industri minyak dan gas serta automotif.

Perbincangan dimulakan dengan pembentangan statistik pendaftaran institusi TVET oleh Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, YBrs. Ts. Dr. Azmir Mohd Yunus, yang memaklumkan bahawa jumlah pendaftaran pelajar TVET tahun lalu mencecah 456 000 orang, dengan KPM merekodkan peratusan tertinggi, iaitu sekitar 88 peratus.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan wujudnya halangan struktural yang secara tidak langsung mengehadkan penyertaan wanita sejak peringkat awal.

Jelasnya,

Antara amalan terawal yang membentuk nisbah unjuran ini termasuklah reka bentuk fasiliti seperti penyediaan blok asrama yang lebih memihak kepada pelajar lelaki. Implikasinya, nisbah penyertaan wanita secara automatik terhad kepada satu pertiga sahaja.

Menyentuh mengenai program pengajian yang secara tradisinya didominasi oleh lelaki kerana faktor fizikal, beliau berkata landskap pendidikan dan pekerjaan kini telah berubah dengan kemajuan teknologi yang mampu mengambil alih tugasan berat, sekali gus membuka peluang yang lebih luas dan saksama kepada pelajar wanita untuk menceburi bidang yang diminati.

Mengulas mengenai cadangan penubuhan sekolah TVET berasrama penuh khusus untuk wanita berasaskan model Sekolah Berasrama Penuh Teknik (SBPT), beliau menjelaskan bahawa dasar ke arah pelaksanaannya masih belum digubal setakat ini.

Tambahnya,

Saya akan membawakan perkara ini sebagai kertas cadangan khas ke Majlis TVET Negara, dengan syarat  mendapat komitmen padu daripada lima kementerian peneraju utama, iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi, KPM, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Bagi memacu strategi TVET 2.0 yang memfokuskan bidang baharu seperti teknologi hijau dan digital, beliau turut memaklumkan bahawa pihak Majlis TVET Negara akan membentangkan pelan terperinci pada mesyuarat bulan hadapan untuk memperbanyak kursus intensif jangka pendek dan program micro-credentials secara dalam talian bagi memastikan akses pembelajaran yang fleksibel untuk semua gender.

Sementara itu, forum ini turut meneliti realiti industri berat lepas pantai (offshore) dengan menyaksikan perkongsian penuh inspirasi daripada Tokoh Berjaya TVET, Puan Suhaida Jamaludin yang berpengalaman mengendalikan telaga minyak (wireline) di beberapa buah negara, termasuk Australia.

Mengulas laporan Forum Ekonomi Dunia yang menunjukkan penyertaan wanita dalam sektor STEM pada peringkat global hanya sekitar 22 peratus, alumni Sekolah Menengah Teknik Jengka itu berkata keadaan dalam bidang pengkhususan beliau lebih mencabar apabila golongan wanita hanya mewakili kira-kira 3 peratus daripada tenaga kerja kerana bidang tersebut melibatkan pengendalian bahan letupan dan radioaktif.

Menurut Puan Suhaida, cabaran terbesar yang menanti juruteknik TVET wanita apabila melangkah ke industri yang didominasi oleh lelaki ialah jurang kepercayaan dan persepsi rendah daripada sesetengah pekerja lelaki.

Ujarnya,

Cara untuk kita atasi sebenarnya bergantung pada individu tersebut. Selagi kita membawa minda yang betul, kompetensi, keyakinan, rajin belajar dan berani, kita tidak akan berasa kerdil walaupun seorang perempuan bekerja dalam kalangan 300 orang lelaki.

Beliau turut berkongsi bahawa syarikat global mempunyai dasar kepelbagaian (diversity policy) serta undang-undang antidiskriminasi dan gangguan seksual yang sangat ketat di lapangan, selain memberikan sokongan penuh termasuk menanggung kos latihan teknologi baharu di luar negara seperti ke Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan aspek pengorbanan domestik yang perlu dirintangi dengan ujian seperti keputusan menangguhkan kehamilan pada awal kerjaya serta cabaran kembali bertugas ke pelantar minyak seawal tiga bulan selepas melahirkan anak demi kelangsungan kerjaya.

Forum diakhiri dengan perkongsian daripada Ketua Pegawai Eksekutif MAG Auto Garage Services Sdn. Bhd., YBrs. Dr. Azlina Ahmad yang membincangkan mengenai data pemilikan bengkel atau perniagaan automotif oleh wanita di Malaysia yang masih berada di bawah unjuran 5%.

Berkongsi mengenai pengalamannya sewaktu menjadi pensyarah di USM, Dr. Azlina menegaskan bahawa istilah “ruang keselamatan” secara eksklusif sebenarnya tidak wujud dalam realiti keras industri kejuruteraan.

Beliau menegaskan,

Jika awal-awal lagi kita menetapkan fikiran bahawa kita memerlukan ‘ruang selamat’, maka kita tidak akan boleh melangkah ke mana-mana. Apabila kita berbicara tentang kesaksamaan, jangan bersikap terlalu eksklusif, sebaliknya jadilah inklusif.

Beliau menambah bahawa sifat semula jadi wanita yang mudah tersentuh dan menangis apabila ditegur tidak harus menghalang tugas. Sebaliknya, setiap titisan air mata dalam industri perlu dilihat sebagai proses kematangan untuk membina karakter yang lebih kental.

Menutup bicara, Dr. Azlina turut berkongsi inspirasi mengenai transisi kerjayanya daripada sektor akademik yang ditinggalkan selepas 12 tahun berkhidmat demi membina empayar perniagaan automotif sendiri. Langkah ini membuktikan bahawa wanita memiliki keupayaan mutlak untuk menerajui ekosistem industri secara mandiri, khususnya apabila koridor kerjaya sedia ada tidak lagi selari dengan aspirasi mereka.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi