Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang memantau rapi perkembangan fenomena El Nino yang dijangkakan mula mempengaruhi cuaca negara dalam masa terdekat dan berkemungkinan berterusan hingga awal tahun 2027.
Ketua Pengarah MetMalaysia, YBrs. Dr. Mohd Hisham Mohd Anip dalam satu kenyataan berkata, fenomena itu dijangkakan menyebabkan cuaca lebih panas dan kering daripada biasa, khususnya sepanjang monsun barat daya yang bermula pada 14 Mei dan dijangkakan berterusan hingga September tahun ini.
Ujarnya,
Keadaan itu berpotensi mengurangkan jumlah hujan di beberapa kawasan, meningkatkan risiko kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta jerebu.
Maklum beliau, MetMalaysia telah memperkukuh penyampaian maklumat cuaca dan amaran awal kepada kerajaan, agensi yang berkaitan serta orang ramai sebagai langkah kesiapsiagaan.
Hingga Jun 2026, MetMalaysia telah melaksanakan lebih 70 sesi taklimat, mesyuarat serta program libat urus berkaitan dengan cuaca panas dan kering pada peringkat kebangsaan, negeri serta daerah.
Menurut beliau, antara sesi utama yang telah dilaksanakan termasuklah sesi taklimat kepada Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Jabatan Pertanian Malaysia serta pembentangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat negeri dan daerah di seluruh negara.
Katanya,
MetMalaysia juga menyediakan ramalan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut hingga tujuh hari ke hadapan, mengeluarkan ramalan jerebu serta bersedia membantu pelaksanaan operasi pembenihan awan jika diperlukan dan keadaan cuaca mengizinkan.
MetMalaysia akan terus komited menyediakan maklumat cuaca yang tepat pada masanya bagi membantu negara membuat persediaan awal menghadapi sebarang risiko cuaca ekstrem.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui aplikasi myCuaca dan laman sesawang rasmi MetMalaysia, selain menggunakan air secara berhemah serta mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka.