Diterbitkan pada 15 Jun 2026, 16:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kemajuan teknologi membuka peluang yang lebih banyak kepada wanita untuk menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila banyak pekerjaan dalam sektor minyak dan gas, automasi serta pembuatan kini tidak lagi bergantung pada kekuatan fizikal semata-mata.

Perkara itu dibincangkan dalam Seminar Wanita dalam TVET: Membina Potensi, Mencorak Masa Hadapan Tahun 2026 menerusi Forum Kedua yang bertajuk “Kesediaan Industri dalam Melaksanakan TVET Inklusif Gender” yang menghimpunkan wakil industri bagi berkongsikan pandangan mengenai peluang wanita dalam bidang TVET dan dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Kejurulatihan dan Hubungan Industri Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Puan Nur Fakhriyyah El-Emin Muhardi selaku moderator.

Pengarah Sumber Manusia Advanced Energy Industries Malaysia Sdn. Bhd., Puan Masliza Mansor berkata, industri semikonduktor dan pembuatan pada masa ini lebih menilai sikap, kemahiran, pengetahuan serta kesediaan calon berbanding dengan faktor jantina.

Menurut beliau, kebanyakan proses dalam industri berteknologi tinggi kini dikendalikan secara automasi dan robotik, sekali gus menjadikan aspek kekuatan fizikal tidak lagi menjadi keperluan utama dalam pekerjaan.

Beliau juga berkata, graduan TVET yang memiliki kemahiran praktikal dan sikap positif mempunyai peluang yang sama untuk berkembang dalam kerjaya, malah prestasi mereka setanding dengan graduan institusi lain apabila berada di tempat kerja.

Jelasnya,

Industri semikonduktor menawarkan pelbagai laluan kerjaya daripada peringkat operator, juruteknik dan jurutera hingga jawatan pengurusan tertinggi dengan gaji yang kompetitif bergantung pada kemahiran serta prestasi individu.

Sementara itu, Pengarah Projek Vantris Energy Berhad, Encik Syahril Suhor Abd Satar berkata, industri minyak dan gas luar pesisir mengamalkan standard keselamatan yang sangat tinggi bagi memastikan kebajikan semua pekerja termasuklah wanita sentiasa terpelihara.

Beliau menjelaskan bahawa pekerja wanita yang bertugas di luar pesisir disediakan kemudahan khas termasuklah penginapan berasingan serta perlindungan mengikut prosedur keselamatan yang ketat.

Ujarnya,

Industri minyak dan gas menawarkan pelbagai bidang pekerjaan, selain kimpalan termasuklah elektrik, elektronik, mekanikal, hidraulik dan pengendalian remotely operated vehicle (ROV) yang kebanyakannya sesuai diceburi oleh graduan TVET tanpa mengira jantina.

Dalam sektor automasi pula, Pengarah Seikou Systec Sdn. Bhd., YBrs. Ts. Siew Peng Wah berkata, perubahan teknologi telah mengubah sifat pekerjaan daripada kerja berat kepada tugasan berasaskan komputer, pengaturcaraan dan sistem digital.

Katanya,

Walaupun penyertaan wanita dalam bidang automasi masih rendah di Malaysia, pekerja wanita yang menyertai sektor tersebut sering menunjukkan prestasi yang cemerlang dan mempunyai prospek kerjaya yang luas.

Menurut beliau, graduan TVET yang memiliki kemahiran dalam automasi bangunan dan teknologi berkaitan boleh memperoleh gaji permulaan sekitar RM3000.00 walaupun hanya memiliki Sijil Kemahiran Malaysia.

Ahli panel turut berpandangan bahawa cabaran utama penyertaan wanita dalam bidang TVET bukan lagi berpunca daripada dasar industri, sebaliknya disebabkan oleh persepsi masyarakat dan ibu bapa yang masih menganggap bidang teknikal sebagai kerjaya yang tidak sesuai untuk wanita.

Secara keseluruhannya, peningkatan penggunaan teknologi seperti automasi, Internet benda, robotik dan kecerdasan buatan telah menjadikan kebanyakan pekerjaan teknikal lebih selamat, bersih dan mesra wanita berbanding sebelum ini.

Kerjasama erat antara institusi pendidikan dengan industri perlu diperkukuh melalui program lawatan industri, pendedahan kerjaya serta perkongsian maklumat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peluang kerjaya TVET.

Usaha tersebut penting bagi memastikan lebih banyak pelajar, khususnya wanita, memahami potensi sebenar bidang TVET dan berani meneroka kerjaya berpendapatan tinggi dalam sektor berteknologi tinggi negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi