Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Berdasarkan kenyataan media oleh Jabatan Metreologi Malaysia (MET Malaysia), beberapa kawasan di sekitar Tawau dan Semporna, Sabah mendapat tempias gegaran berikutan gempa bumi yang berlaku di Mindanao, Filipina.
Gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 dengan kedalaman 50 km telah dikesan berlaku di Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi tadi. Gempa bumi tersebut berpusat pada latitud 5.7 Utara dan longitud 125.1° Timur.
Berdasarkan analisis MET Malaysia, tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12.00 tengahari ini.
Siren nasihat tsunami telah dibunyikan di empat lokasi tersebut sebagai langkah berjaga-jaga dan amaran awal kepada penduduk di kawasan terlibat.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), YB Datuk Seri Arthur Joseph Kurup memberikan penekanan serius kepada seluruh masyarakat, khususnya penduduk di kawasan pantai sekitar Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu agar kekal tenang dan jangan panik.
“Pihak kerajaan melalui MET Malaysia dan agensi keselamatan sedang memantau situasi ini secara rapi dari semasa ke semasa,” ujar beliau.
Beliau turut menggesa semua penduduk di kawasan terlibat untuk memberikan kerjasama penuh dan mematuhi serta-merta segala arahan evakuasi atau keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
Sehubungan dengan itu, pendudukan juga hendaklah mengelakkan diri daripada mendekati kawasan pantai dalam tempoh yang dinyatakan demi keselamatan diri dan keluarga.
MET Malaysia akan terus memantau dengan teliti sebarang perkembangan berhubung aktiviti gempa susulan serta risiko tsunami dan akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
“Orang awam diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh mencetuskan kegusaran awam,” ujar beliau.
Sebarang maklumat cuaca atau gempa bumi terkini yang sahih boleh didapatkan melalui saluran rasmi, iaitu laman web www.mel.gov.my, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia, atau menghubungi talian penting 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.