Diterbitkan pada 8 Jun 2026, 11:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Usaha pengurusan dan pemeliharaan hutan di sepanjang Banjaran Nakawan perlu dipergiat kerana kawasan itu bukan sekadar landskap hutan, sebaliknya merupakan khazanah negeri yang amat berharga serta aset negara yang wajar dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut menyeru semua pihak, khususnya rakyat Perlis agar bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan usaha pemeliharaan hutan demi memastikan objektif pemuliharaan yang dirancang dapat dicapai.

“Di kesempatan ini juga, saya menyeru kepada semua, terutamanya rakyat negeri Perlis untuk terlibat dalam aktiviti pemeliharaan hutan dan usaha ini perlu dipikul secara bersama dari segenap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, status dan usia,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Penutup Nakawan Rainforest Festival bersempena dengan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis di Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat.

Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Antara rakaman foto DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail semasa berkenan menyempurnakan Majlis Penutup Nakawan Rainforest Festival bersempena dengan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis di Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat, Perlis.

DYMM Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, baginda yakin bahawa Jabatan Perhutanan akan terus unggul dalam menerajui usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah hutan serta alam sekitar di Perlis, selaras dengan visinya untuk menjadi peneraju terunggul dalam pengurusan hutan tropika secara lestari.

Menurut baginda, penganjuran Nakawan Rainforest Festival amat signifikan dalam usaha Kerajaan Negeri Perlis memartabatkan pemeliharaan kepelbagaian biologi, pengekalan nilai geologi, dokumentasi nilai arkeologi serta penghayatan nilai budaya dan tradisi setempat yang terdapat di sepanjang Banjaran Nakawan.

Festival yang berlangsung dari 30 Mei itu turut menjadi wadah penting untuk memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan serta tanggungjawab bersama dalam usaha pemeliharaan dan penjagaan kawasan hutan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi