Diterbitkan pada 31 Mei 2026, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pemuliharaan biodiversiti merupakan satu daripada aspek penting dalam memastikan kelangsungan hidup flora dan fauna di muka bumi. Malaysia merupakan sebuah negara tropika kaya dengan pelbagai spesies tumbuhan yang unik dan cantik termasuklah yang mempunyai nilai ekologi dan ekonomi yang tinggi. Namun demikian, terdapat sebahagian daripada spesies tumbuhan kini terancam dan dilanda kepupusan. Antara puncanya termasuklah disebabkan oleh perubahan status guna tanah dan kemusnahan habitat.

Dalam konteks ini, Taman Botani Kepong atau dikenali sebagai Kepong Botanic Gardens (KBG) yang diuruskan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) memainkan peranan penting dalam usaha pemuliharaan dan memastikan kelestarian spesies tumbuhan tempatan, terutamanya yang melibatkan spesies endemik, langka dan terancam. Terdapat pelbagai taman tema tumbuhan yang telah dibangunkan di KBG bagi menempatkan koleksi tumbuhan mengikut famili atau ciri sesuatu kumpulan tumbuhan, termasuklah taman tema bagi koleksi palma.

Palma tergolong dalam famili Arecaceae dan boleh ditemukan dalam pelbagai habitat, terutamanya di kawasan hutan hujan tropika dan subtropika. Nama palma yang bermaksud “tapak tangan” dipinjam daripada bahasa Latin kerana bentuk anak daun yang berhubung dengan tangkai pelepahnya menyerupai tapak tangan yang menjangkau.

Pokok palma mempunyai ciri fizikal yang mudah dikenali. Daunnya besar, malar hijau dan majmuk yang tersusun di bahagian atas batang yang biasanya tidak bercabang. Keunikan spesies palma terletak pada bentuk batang dan daun berpelepah dengan pelbagai bentuk dan saiz. Terdapat lebih kurang 181 genus yang merangkumi 2600 spesies palma direkodkan di seluruh dunia dan lebih kurang 400 spesies boleh ditemukan di Malaysia. Antara genus yang direkodkan di Malaysia termasuklah Areca, Borassodendron, Calamus, Johannesteijsmannia, Licuala, Nypa, Pinanga dan Salacca.

Tumbuhan ini bukan sahaja berfungsi sebagai komponen penting dalam ekosistem, malah turut menyumbang kepada kehidupan manusia melalui pelbagai kegunaan seperti bahan binaan, makanan dan landskap serta seni taman kerana bentuknya yang unik dan menarik. Dari sudut ekonomi pula, pelbagai produk berasaskan palma seperti minyak sawit, manisan dan bahan kraf tangan menyumbang kepada hasil pendapatan komuniti setempat dan ekonomi negara. Walau bagaimanapun, pembangunan pesat, pembalakan serta perubahan guna tanah telah menyebabkan banyak habitat semula jadi palma terjejas. Keadaan ini memberikan kesan langsung kepada kelangsungan spesies tertentu, terutamanya yang mempunyai taburan geografi yang terhad.

Sehubungan dengan itu, pendekatan konservasi ex situ telah dilaksanakan di KBG bagi memelihara spesies palma yang mempunyai nilai pemuliharaan tinggi. Konservasi ex situ merujuk usaha memulihara spesies di luar habitat asal dalam keadaan terkawal. Kaedah ini penting, terutamanya apabila habitat semula jadi tidak lagi mampu menyokong kehidupan spesies tersebut. Di taman ini, pelbagai spesies palma dikumpulkan, ditanam dan dipantau bagi memastikannya terus hidup serta dapat membiak dengan baik. Terdapat lebih daripada 80 spesies palma telah dipulihara di KBG hingga hari ini.

Taman Botani Kepong atau dikenali sebagai Kepong Botanic Gardens.

Antara spesies palma endemik yang diberikan perhatian termasuklah Livistona endauensis yang hanya terdapat di beberapa kawasan tertentu di Semenanjung Malaysia seperti Johor dan Terengganu. Nama tempatan bagi Livistona endauensis ialah serdang endau dan bertam. Perkataan endauensis merujuk lokasi pertama spesies ini ditemukan dan direkodkan, iaitu di kawasan Ulu Endau, Johor.

Livistona endauensis biasanya hidup secara tunggal di kawasan terbuka hutan tanah pamah dipterokarpa serta kawasan bercerun dan puncak bukit pada ketinggian sekitar 90 meter hingga 660 meter dari aras laut. Spesies ini merupakan pokok subkanopi sederhana yang boleh mencapai hingga 15 meter tinggi. Daunnya bersaiz besar serta mempunyai tangkai panjang yang berduri. Dari segi status pemuliharaan, spesies ini dikategorikan sebagai Hampir Terancam (Near Threatened) kerana populasi yang kecil dan terhad serta penurunan bilangan pokok matang di habitat semula jadi. Walau bagaimanapun, populasi spesies ini kini dilindungi di Taman Negara Endau–Rompin.

Livistona endauensis.

Selain itu, Johannesteijsmannia lanceolata juga merupakan spesies palma yang unik dengan daun yang besar dan bentuk menarik. Palma ini sering digunakan oleh masyarakat orang asli sebagai bahan binaan tradisional, namun kini berdepan dengan ancaman akibat pengambilan berlebihan dan kemusnahan habitat. Johannesteijsmannia lanceolata merupakan spesies endemik kepada Semenanjung Malaysia. Taburan populasi asal bagi spesies ini terhad berada di kawasan Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor sahaja. Spesies palma ini hidup subur di kawasan berhampiran dengan sungai serta kawasan yang mempunyai saliran yang baik.

Pokok ini boleh tumbuh hingga 3.5 meter tinggi. Lebar daun Johannesteijsmannia lanceolata kira-kira 30 sentimeter dan bentuk daunnya memanjang hingga 2.4 meter. Bunganya berwarna putih berkrim dan berbau harum. Buahnya pula berwarna coklat kemerahan, berbentuk bulat dengan ditutup oleh kulit yang keras dan berketuat serta boleh membesar hingga 3.4 sentimeter diameter.

Johannesteijsmannia lanceolata.

Johannesteijsmannia perakensis merupakan satu lagi spesies endemik di Semenanjung Malaysia. Nama tempatan untuk spesies ini ialah daun payung kerana saiz daunnya lebar dan dapat memberikan teduhan kepada hidupan di bawahnya daripada terkena hujan ataupun panas. Taburan spesies ini adalah terhad dan hanya ditemukan di kawasan lembah dan lereng Hutan Simpan Kledang Saiong, Perak dan Hutan Simpan Gunung Bongsu, Kedah dan tumbuh di kawasan yang lembap dan redup serta bersaliran baik.

Palma Johannesteijsmannia perakensis berupaya membesar hingga mencapai ketinggian 5 meter. Ciri utama untuk mengenal pasti tumbuhan ini adalah melalui batang lurus yang ketara kelihatan di atas tanah berbanding dengan tiga spesies Johannesteijsmannia yang lain yang tertimbus di bawah tanah. Bentuk daunnya juga sama seperti Johannesteijsmannia altifrons dan Johannesteijsmannia magnifica, iaitu berbentuk berlian dan bersaiz besar hingga mencapai 3 meter panjang dan 1.6 meter lebar.

Johannesteijsmannia perakensis.

Licuala kemamanensis merupakan sejenis palma bersaiz kecil yang jarang-jarang ditemukan dan endemik di Semenanjung Malaysia. Populasi spesies ini hanya terhad di Terengganu. Rekod pertama spesies ini dijumpai adalah di daerah Kemaman dan Dungun. Licuala kemamanensis ditemukan hidup di kawasan dipterokarpa tanah rendah di antara ketinggian 50 meter hingga 200 meter dari aras laut.

Palma ini mempunyai daun berbentuk bilah kipas yang cantik dengan warna hijau berkilat dan membesar hingga mencapai ketinggian 1 meter. Biasanya tumbuh di lantai hutan yang teduh, lembap dan bersaliran baik. Spesies ini mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi kerana taburannya yang terhad kepada kawasan kecil dan populasi menghadapi ancaman kemusnahan habitat.

Licuala kemamanensis.

Seterusnya, Licuala sallehana var. sallehana juga merupakan palma bersaiz kecil yang endemik kepada negeri Terengganu, yang hanya ditemukan di kawasan Hulu Terengganu. Palma ini biasanya tumbuh di lantai hutan tanah pamah dipterokarpa dalam keadaan lembap dan terlindung daripada cahaya matahari secara langsung. Palma ini mempunyai tangkai daun kira-kira 70 sentimeter panjang, bentuk daun yang unik dan menarik, iaitu berbentuk pendayung. Bahagian atas daun berwarna hijau tua dan bawah daun berwarna keperakan. Palma ini juga boleh tumbuh dan membesar hingga mencapai ketinggian 1.5 meter.

Selain itu, spesies ini tumbuh secara berkelompok dan tidak mempunyai batang yang tinggi berbanding dengan palma lain. Bentuk daun yang menarik menjadikannya bernilai tinggi sebagai tumbuhan hiasan. Walau bagaimanapun, habitat semula jadi Licuala sallehana var. sallehana semakin terancam akibat aktiviti pembalakan, pembangunan kawasan hutan dan perubahan guna tanah.

Licuala sallehana var. sallehana.

Seterusnya, Areca tunku biasanya ditemukan tumbuh bersendirian dan tidak berkelompok di kawasan hutan dipterokarpa bukit di antara ketinggian 300 meter hingga 800 meter dari aras laut. Pokok ini dinamakan bersempena dengan gelaran “Tunku” yang berasal daripada perkataan Melayu yang merujuk gelaran diraja dan lazimnya ditemukan di kawasan hutan hujan tropika tanah tinggi dan lembap. Spesies ini boleh ditemukan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, kawasan selatan Thailand dan juga Pulau Sumatra di Indonesia.

Areca tunku boleh tumbuh mencapai ketinggian hingga 5 meter dan mempunyai batang yang lurus dengan diameter 5 sentimeter. Daunnya pula panjang dan boleh mencapai hingga 2.5 meter. Spesies ini merupakan pokok palma monoecious (mempunyai bunga jantan dan betina pada tumbuhan yang sama) dan berkait rapat dengan pokok palma sirih (Areca catechu), tetapi berbeza dari segi morfologi.

Areca tunku.

Pinanga riparia pula merupakan palma kecil daripada genus Pinanga yang biasanya tumbuh berhampiran dengan sungai atau kawasan berair. Spesies ini mempunyai taburan populasi yang banyak di Semenanjung Malaysia, Thailand, Singapura dan Sumatra. Nama “riparia” itu merujuk kawasan tanah lembap atau vegetasi yang terletak di tebing sungai. Pinanga riparia tumbuh subur di persekitaran tepi sungai yang sangat lembap dan mampu bertahan dengan peningkatan air sungai.

Spesies ini mempunyai batang kecil berwarna kehijauan yang seakan-akan batang tebu yang merebak melalui rizom pada bahagian bawah batang untuk membentuk kelompok padat setinggi tiga meter hingga lima meter. Daunnya berwarna hijau berkilat di bahagian atas dan kelabu keperakan di bawah. Spesies ini hidup subur di tanah organik, kaya dengan humus dan berasid.

Pinanga riparia.

Licuala thoana juga merupakan satu daripada spesies palma yang endemik di Semenanjung Malaysia. Spesies ini hanya pernah direkodkan di beberapa kawasan di negeri Terengganu dan Johor. Licuala thoana ditemukan tumbuh bersendirian dan tidak berkelompok di kawasan hutan dipterokarpa tanah pamah dan di bawah teduhan. Spesies palma ini juga mempunyai tangkai daun panjang, iaitu kira-kira 50 sentimeter dan kadangkala pelepah daun berpecah kepada tiga segmen di bahagian sisi dengan saiz yang lebih kecil. Buah Licuala thoana pula berbentuk sedikit bujur dan berwarna merah jambu.

Licuala thoana.

Ancaman terhadap spesies palma ini tidak boleh dipandang ringan. Aktiviti pembalakan yang tidak terkawal telah memusnahkan kawasan hutan yang menjadi habitat utama palma. Selain itu, pembangunan kawasan perumahan dan infrastruktur turut menyumbang kepada kehilangan habitat tumbuhan ini. Pengambilan tumbuhan secara berlebihan untuk tujuan komersial dan landskap juga mempercepat kemerosotan populasi palma di habitat semula jadi. Tambahan pula, faktor perubahan iklim turut memberikan kesan kepada corak pertumbuhan dan pembiakan tumbuhan ini.

Bagi menangani isu ini, KBG telah melaksanakan pelbagai langkah pemuliharaan yang sistematik dan berterusan. Antaranya termasuklah penanaman semula spesies palma dalam kawasan taman dengan kawalan rapi terhadap faktor persekitaran seperti tanah, cahaya dan kelembapan. Selain itu, usaha dokumentasi juga dijalankan dengan merekodkan maklumat penting bagi setiap spesies seperti asal usul, ciri morfologi dan keperluan habitat. Data ini amat berguna untuk tujuan penyelidikan dan pemantauan jangka masa panjang.

KBG juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan tumbuhan. Melalui pameran, papan maklumat dan program pendidikan, pengunjung dapat memahami kepentingan menjaga biodiversiti serta peranan mereka dalam usaha tersebut. Kesedaran awam merupakan satu daripada faktor penting dalam memastikan kejayaan pemuliharaan yang berterusan.

Sebagai kesimpulannya, pemuliharaan spesies palma endemik dan langka merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak. Dalam hal ini, KBG telah membuktikan bahawa usaha konservasi yang sistematik mampu menyelamatkan spesies tumbuhan daripada kepupusan. Melalui pendekatan konservasi ex situ, penyelidikan saintifik dan pendidikan awam, taman ini menjadi pusat penting dalam pemeliharaan khazanah flora negara. Oleh hal yang demikian, usaha ini perlu diteruskan dan diperkukuh agar generasi akan datang masih berpeluang untuk menikmati keindahan dan kepelbagaian spesies palma yang unik ini.

 

Mohd Shis Ibrahim,
Penolong Pegawai penyelidik,
Program Biodiversiti Flora,
Bahagian Biodiversiti Hutan,
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
 
Suhaida Mustafa,
Pegawai penyelidik,
Program Biodiversiti Flora,
Bahagian Biodiversiti Hutan, FRIM.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi