Diterbitkan pada 22 Mei 2026, 10:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Dewan Bankuet, Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi tumpuan apabila sebanyak 280 orang ahli Kelab Rakan Perkhidmatan Awam (AKRAB) dari seluruh negeri Selangor berhimpun bagi menjayakan Mesyuarat Agung Dwitahunan Kali Ke-5 yang digerakkan seiring dengan Program Psikologi Pocket Talk Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Timbalan Datuk Bandar MBSA, Puan Safriah Md Adzhar dalam ucapan alu-aluannya berkata, kesejahteraan emosi warga kerja merupakan asas utama kepada kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan budaya kerja yang sihat, berempati serta saling menyokong yang akan membentuk modal insan yang lebih berdaya tahan.

Sesi Coffee Talk yang bertajuk “Burnout dalam Diam: Jaga Diri sebelum Terlalu Lelah” yang disampaikan oleh Puan Manisah Saedon dari Majlis AKRAB Kebangsaan mengupas isu lesu upaya dalam kalangan penjawat awam yang merupakan satu fenomena yang kini mendapat perhatian serius pada peringkat global.

Puan Manisah Saedon berkongsikan lima panduan penjagaan diri sebagai langkah awal mencegah lesu upaya, misalnya belajar berkata “cukup”, berehat tanpa rasa bersalah, menjaga tidur, bergerak dan bernafas dengan tenang serta tidak memendam emosi bersendirian dengan berkongsi dan mendapatkan sokongan apabila diperlukan.

Menurut beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia sendiri telah mengklasifikasikan lesu upaya sebagai fenomena pekerjaan impak daripada tekanan kronik yang gagal diurus.

Ujarnya,

Kajian menunjukkan hampir 48 peratus tenaga kerja dunia bergelut dengan kelesuan ini, manakala kadar di Malaysia dianggarkan mencecah 58 peratus, sekali gus menjadikan isu tersebut sebagai “pembunuh senyap” produktiviti yang perlu dikesan awal melalui tanda seperti keletihan emosi dan penurunan motivasi.

Untuk memperkukuh impak praktikal program, Majlis AKRAB Kebangsaan turut membuka reruai interaktif “Let’s Talk About Burnout” yang berfungsi sebagai ruang saringan awal kesihatan mental dalam kalangan peserta, selaras dengan pendekatan intervensi awal di tempat kerja.

Ahli AKRAB sedang menjalani saringan lesu upaya di reruai Majlis AKRAB Kebangsaan sebagai usaha meningkatkan kesedaran terhadap kesejahteraan mental dan pengurusan lesu upaya dalam kalangan penjawat awam.

Inisiatif ini dilihat memberikan impak langsung apabila beberapa orang ahli dikenal pasti menunjukkan tanda awal lesu upaya yang memerlukan perhatian dan sokongan lanjut serta menzahirkan kepentingan pelaksanaan intervensi awal secara berstruktur dalam menangani isu kesihatan mental dalam persekitaran kerja.

Bagi memeriahkan suasana, majlis diserikan dengan sesi penyampaian sijil bagi pertandingan video kreatif Kempen Kesedaran Pengurusan Sampah 2026, pertandingan reka bentuk lanyard serta penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa AKRAB Selangor sesi 2024–2026.

Sesi penyampaian cenderamata kepada Timbalan Datuk Bandar MBSA, Puan Safriah Md Adzhar sebagai simbol penghargaan dan jalinan kerjasama.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya memperkukuh jaringan sokongan emosi demi melahirkan warga kerja yang cemerlang dan seimbang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi