Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Dewan Bankuet, Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi tumpuan apabila sebanyak 280 orang ahli Kelab Rakan Perkhidmatan Awam (AKRAB) dari seluruh negeri Selangor berhimpun bagi menjayakan Mesyuarat Agung Dwitahunan Kali Ke-5 yang digerakkan seiring dengan Program Psikologi Pocket Talk Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Timbalan Datuk Bandar MBSA, Puan Safriah Md Adzhar dalam ucapan alu-aluannya berkata, kesejahteraan emosi warga kerja merupakan asas utama kepada kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan budaya kerja yang sihat, berempati serta saling menyokong yang akan membentuk modal insan yang lebih berdaya tahan.
Sesi Coffee Talk yang bertajuk “Burnout dalam Diam: Jaga Diri sebelum Terlalu Lelah” yang disampaikan oleh Puan Manisah Saedon dari Majlis AKRAB Kebangsaan mengupas isu lesu upaya dalam kalangan penjawat awam yang merupakan satu fenomena yang kini mendapat perhatian serius pada peringkat global.

Menurut beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia sendiri telah mengklasifikasikan lesu upaya sebagai fenomena pekerjaan impak daripada tekanan kronik yang gagal diurus.
Ujarnya,
Kajian menunjukkan hampir 48 peratus tenaga kerja dunia bergelut dengan kelesuan ini, manakala kadar di Malaysia dianggarkan mencecah 58 peratus, sekali gus menjadikan isu tersebut sebagai “pembunuh senyap” produktiviti yang perlu dikesan awal melalui tanda seperti keletihan emosi dan penurunan motivasi.
Untuk memperkukuh impak praktikal program, Majlis AKRAB Kebangsaan turut membuka reruai interaktif “Let’s Talk About Burnout” yang berfungsi sebagai ruang saringan awal kesihatan mental dalam kalangan peserta, selaras dengan pendekatan intervensi awal di tempat kerja.

Inisiatif ini dilihat memberikan impak langsung apabila beberapa orang ahli dikenal pasti menunjukkan tanda awal lesu upaya yang memerlukan perhatian dan sokongan lanjut serta menzahirkan kepentingan pelaksanaan intervensi awal secara berstruktur dalam menangani isu kesihatan mental dalam persekitaran kerja.
Bagi memeriahkan suasana, majlis diserikan dengan sesi penyampaian sijil bagi pertandingan video kreatif Kempen Kesedaran Pengurusan Sampah 2026, pertandingan reka bentuk lanyard serta penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa AKRAB Selangor sesi 2024–2026.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya memperkukuh jaringan sokongan emosi demi melahirkan warga kerja yang cemerlang dan seimbang.