Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) baru-baru ini mengadakan kunjungan hormat ke beberapa institusi di Melaka yang melibatkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta GIATMARA Masjid Tanah.
Kunjungan hormat ini diketuai oleh Ketua Pengarah Atom Malaysia, YBrs. Puan Hajah Noraishah Pungut, bertujuan untuk membincangkan potensi kerjasama strategik dalam melaksanakan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) Atom Malaysia 2026, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang telah dipilih secara rasmi oleh Atom Malaysia sebagai KAM bagi tahun 2026. Program ini merupakan langkah kerajaan dalam memperkasakan pembangunan sosioekonomi komuniti dan kemudahan asas agar jurang pembangunan di kawasan bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM, YBrs. Ts. Dr. Nur Rashid Mat Nuri @ Md Din turut serta dalam usaha meneliti potensi kerjasama strategik dalam bidang pertanian moden tanaman akuaponik dan hidroponik.
Jelasnya,
Keluasan tempat perlu dititikberatkan sebelum menjalankan aktiviti tanaman pertanian akuaponik dan hidroponik ini.
Inisiatif ini secara tidak langsung dijangka dapat meningkatkan hasil tanaman komuniti setempat serta menjana pendapatan tambahan bagi menggalakkan pelibatan aktif penduduk dalam aktiviti pertanian.
Dalam pada itu, Pengarah GIATMARA Negeri Melaka, Tuan Haji Ts. Kamaruzzaman Ani, turut hadir dalam kunjungan di GIATMARA Masjid Tanah bagi membincangkan peluang kolaborasi strategik terutamanya dalam bidang pendawaian elektrik di Balai Raya Paya Rumput Jaya, Sungai Udang. Pelaksanaan ini dijangka dapat membantu meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat.

Kunjungan hormat ini telah menjadi asas kepada pembentukan kerjasama strategik yang kukuh antara Atom Malaysia dengan institusi di Melaka yang terlibat dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti, di samping mengeratkan hubungan silaturahim.