Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sebanyak 56 kes penyakit berkaitan dengan cuaca panas direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga kini, termasuklah dua kematian akibat strok haba.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan dua kematian tersebut melibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang tertinggal di dalam kenderaan dan seorang lelaki berusia 42 tahun yang menyertai aktiviti maraton di Pulau Pinang.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua kes berlaku ketika cuaca berada di bawah Tahap Amaran 1, namun faktor risiko utama yang dikenal pasti ialah pendedahan kepada haba melampau dalam persekitaran tertutup serta aktiviti fizikal lasak dalam tempoh panjang yang menyebabkan dehidrasi teruk dan kegagalan kawal atur suhu badan.
Daripada jumlah keseluruhan kes, sebanyak 47 kes melibatkan kelesuan haba, empat kes strok haba exertional, empat kes strok haba dan satu kes kekejangan haba.
Analisis KKM turut mendapati bahawa 58 peratus kes penyakit berkaitan dengan cuaca panas berpunca daripada aktiviti fizikal semasa cuaca panas, dengan hampir separuh melibatkan aktiviti sukan dan olahraga seperti merentas desa, latihan sukan dan maraton, manakala selebihnya melibatkan latihan fizikal berintensiti tinggi oleh pasukan keselamatan serta operasi.
Katanya,
Orang ramai dinasihatkan agar mengehadkan aktiviti fizikal lasak dan pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas serta memperbanyak masa berehat di tempat teduh sekiranya perlu berada di luar.
Orang ramai juga digalakkan meminum air kosong secukupnya walaupun tidak berasa dahaga bagi memastikan badan kekal terhidrat, selain menggunakan pelindung diri seperti topi, payung serta pakaian ringan dan berwarna cerah.
Katanya lagi, golongan berisiko seperti bayi, kanak-kanak, warga emas dan individu berpenyakit kronik perlu diberikan perhatian khusus dari segi hidrasi, selain mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar tidak meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti pening, mual, kekejangan otot atau keletihan melampau.
KKM juga menggesa semua pihak termasuklah agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pusat jagaan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya dalam merancang aktiviti luar bagi mengurangkan risiko penyakit berkaitan dengan haba, selain merujuk maklumat terkini status cuaca panas melalui laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan panduan kesihatan menerusi laman rasmi KKM.