Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGenus Lobelia tergolong dalam famili Campanulaceae yang juga dikenali sebagai famili Bellflower. Famili Campanulaceae terdiri daripada tumbuhan herba dan renek merangkumi sekitar 84 genus dan boleh ditemui di hampir semua benua kecuali Antartika. Spesies dalam famili Campanulaceae umumnya mempunyai ciri penghasilan getah berwarna putih susu apabila batangnya ditoreh.
Lobelia merupakan satu daripada genus dalam famili Campanulaceae yang sering dikaitkan dengan kawasan tanah tinggi. Genus Lobelia dinamakan sempena nama Mathias de l’Obel, seorang ahli botani dan perubatan dari Belgium. Secara global, genus ini merangkumi sekitar 400 spesies yang tersebar luas, terutamanya di kawasan tropika, dengan sebahagiannya turut ditemui di kawasan beriklim sederhana. Di Malaysia, kebanyakan spesies ini direkodkan di kawasan berbukit dan pergunungan, walaupun terdapat juga spesies tertentu yang mampu hidup di dataran rendah.
Lobelia montana dinamakan dengan merujuk perkataan Latin, montanus yang bermaksud yang berasal atau hidup di kawasan pergunungan. Seiring dengan namanya, setakat ini di Semenanjung Malaysia, Lobelia montana direkodkan di kawasan pinggir hutan pergunungan bawah di Cameron Highlands, Pahang.
Lobelia montana tumbuh sebagai herba menegak dengan ketinggian sekitar satu meter. Batangnya berwarna hijau hingga kemerahan dan biasanya tidak berbulu. Helaian daunnya tersusun secara berselang-seli sepanjang batang dan kemudiannya menjadi susunan berpilin apabila menghala ke bahagian penghujung batang. Bahagian tepi daunnya pula bergerigi halus dan permukaan bawah daun kadangkala mempunyai rerambut pada bahagian tulang daun dan urat sisi. Bunga Lobelia montana kelihatan menarik dengan kelopak bunga yang berwarna ungu hingga ungu kebiruan dan kadangkala dengan bahagian pinggir kelopak yang berwarna putih. Bahagian dalam pangkal tiub bunga mempunyai garisan kuning, manakala buahnya berbentuk beri dan berwarna biru kehitaman hingga ungu gelap dan berkilau. Bijinya pula berbentuk elipsoid dan berwarna kuning pucat.


Nama Lobelia nummularia pula berasal daripada perkataan Latin, nummulus, kata kecil bagi nummus yang bermaksud syiling (wang logam) yang merujuk daunnya yang berbentuk seperti syiling. Taburan Lobelia nummularia adalah dari Asia Tenggara hingga Australia dan spesies ini juga telah ternaturalisasi di Amerika Selatan. Di Semenanjung Malaysia, spesies ini direkodkan di beberapa kawasan pergunungan di negeri Pahang, iaitu Cameron Highlands, Bukit Fraser dan Genting Highlands. Spesies ini dijumpai di pinggir hutan di kawasan pergunungan bawah hingga pergunungan atas. Selain itu, Lobelia nummularia juga pernah ditemui di tebing sungai.
Lobelia nummularia tumbuh sebagai herba menjalar dengan panjang batangnya mencapai hingga 60 sentimeter. Batangnya berwarna hijau hingga keunguan dan kebiasaannya berbulu, manakala helaian daunnya tersusun secara berselang-seli di sepanjang batang. Daun Lobelia nummularia bersaiz agak kecil sehingga 2.5 sentimeter panjang dan lebar, selalunya berbentuk bulat atau ginjal dan jarang-jarang berbentuk telur (lebar di bahagian bawah dan mengecil ke atas). Bahagian tepi daunnya pula berlekuk bulat hingga bergigi tajam, manakala permukaan bawah daun kadangkala mempunyai rerambut, khususnya pada bahagian urat sisi. Urat daun sisi tumbuhan ini bercabang dari satu titik di pangkal daun dan susunannya seperti tapak tangan dengan jari tangan yang terbuka. Bunga Lobelia nummularia juga kelihatan menarik dengan kelopak bunga yang berwarna merah jambu hingga ungu cair. Bahagian pangkal dalam tiub bunga ini mempunyai garisan berwarna kuning. Buahnya berbentuk beri dan berwarna ungu kemerahan dan berkilau. Bijinya pula berbentuk elipsoid dan berwarna kuning pucat hingga perang. Dengan bunganya yang berwarna merah jambu hingga ungu cair dan buah berkilau, Lobelia nummularia berpotensi dijadikan sebagai tumbuhan hiasan.



Taburan Lobelia montana dan Lobelia nummularia yang terhad di kawasan pergunungan menjadikan kedua-dua spesies ini berpotensi untuk kajian ekologi dan kesan perubahan iklim. Tumbuhan tanah tinggi lazimnya sensitif terhadap perubahan suhu dan kelembapan, dan secara tidak langsung berfungsi sebagai penunjuk penting kepada perubahan persekitaran. Sekiranya suhu setempat meningkat, habitat yang sesuai bagi spesies ini mungkin akan beralih ke altitud yang lebih tinggi, sekaligus mengecilkan kawasan taburannya. Dalam jangka masa panjang, fenomena ini boleh membawa kepada risiko kepupusan jika spesies ini tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan perubahan tersebut.
Selain itu, di Malaysia, kajian mengenai interaksi pendebungaan bagi Lobelia montana dan Lobelia nummularia masih terhad. Dalam ekosistem hutan tanah tinggi yang kompleks, hubungan antara tumbuhan dengan pendebunga memainkan peranan penting bagi mengekalkan keseimbangan biodiversiti. Oleh itu, walaupun kedua-dua spesies ini kelihatan kecil dan tidak menonjol, spesies ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada jaringan ekologi yang lebih besar.
Walaupun genus Lobelia secara umumnya mempunyai potensi dalam bidang perubatan dan fitokimia, kajian khusus terhadap Lobelia montana dan Lobelia nummularia masih sangat terhad. Hal ini membuka peluang kepada penyelidikan masa hadapan untuk meneroka potensi sebatian kimia dalam spesies ini. Dalam konteks keperluan semasa terhadap sumber ubatan baharu, tumbuhan liar seperti ini mungkin menyimpan nilai yang belum diterokai.
Dengan memahami dan mengenali spesies Lobelia montana dan Lobelia nummularia dapat menyedarkan kita bahawa biodiversiti Malaysia bukan sekadar terletak pada spesies yang besar dan ikonik seperti Rafflesia atau pokok dipterokarpa, tetapi juga pada tumbuhan kecil yang seringkali terlepas pandang. Setiap spesies, tanpa mengira saiz, memainkan peranan dalam ekosistem dan menyumbang kepada keseimbangan alam. Hal ini juga merupakan antara langkah penting ke arah menghargai kepelbagaian flora negara. Dalam dunia yang semakin terdedah kepada perubahan persekitaran, usaha mendokumentasikan dan memelihara biodiversiti menjadi semakin penting. Malaysia, sebagai satu daripada negara megadiversiti dunia, mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan warisan alam ini terus terpelihara.