Diterbitkan pada 27 April 2026, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Penaga – Program SuSpectroCiety: STEM Empowerment through Spectroscopy for a Sustainable Society anjuran bersama Persatuan Sains Analisis Malaysia (ANALIS) dan Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM) dilaksanakan bagi menangani penurunan minat serta enrolmen pelajar dalam aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), khususnya di sekolah luar bandar.

Sebanyak 40 orang murid Tingkatan Tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Hassan Noh telah menyertai program tersebut.

Menurut penyelaras program, YBrs. Dr. Norazzizi Nordin, pendekatan pembelajaran berasaskan inkuiri yang diketengahkan mampu memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada pelajar.

Beliau berkata, program ini memberikan peluang kepada pelajar melihat sendiri konsep sains yang dipelajari di dalam bilik darjah boleh digunakan dalam kehidupan sebenar melalui eksperimen yang menyeronokkan, interaktif dan dekat dengan persekitaran mereka.

Pengetua SMK Dato’ Haji Hassan Noh, Encik Zaidi Hamzah menyambut baik pelaksanaan program ini dan menyifatkannya sebagai inisiatif yang amat bermanfaat dalam membuka minda pelajar terhadap kepentingan STEM serta peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang sains.

Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan inkuiri dan aktiviti amali, para peserta didedahkan kepada penggunaan spektroskopi dalam kehidupan seharian melalui pembentukan spektrum cahaya dengan menggunakan DIY spektroskop, penentuan kepekatan pewarna dalam sampel minuman dengan menggunakan spektrofotometer boleh nampak serta penerokaan sifat pendarfluor dalam sampel makanan dan tumbuhan.

Peserta menjalankan aktiviti inkuiri yang menyeronokkan secara kolaboratif.

Aktiviti ini bukan sahaja memperkenalkan konsep asas cahaya dan sains analisis, malah menggalakkan pemikiran kritis, penyelesaian masalah serta keupayaan menghubungkan ilmu sains dengan isu kelestarian.

Peserta melakukan aktiviti amali dan dibimbing oleh fasilitator.

Pendekatan pembelajaran ini turut membantu pelajar memahami fenomena harian, menilai kualiti bahan di sekeliling serta meningkatkan kesedaran terhadap penggunaan sumber secara lestari dan bertanggungjawab, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goal (SDG) ketujuh (Tenaga Mampu Milik dan Bersih), SDG ke-12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) serta SDG ke-15 (Kehidupan di Darat).

Peserta didedahkan kepada peralatan makmal sebenar ketika pelaksanaan aktiviti.

Program ini turut melibatkan 10 orang pelajar prasiswazah dan lima orang pelajar siswazah dari Pusat Pengajian Sains Kimia, USM sebagai fasilitator yang membimbing para peserta sepanjang aktiviti berlangsung serta berkongsi pengetahuan berkaitan dengan spektroskopi dan sains analisis.

Pelibatan mahasiswa ini bukan sahaja menjadi platform pemindahan ilmu kepada komuniti, malah memupuk nilai tanggungjawab sosial, kepimpinan dan kesedaran sivik dalam kalangan pelajar universiti.

Selain aktiviti eksperimen, peserta turut diperkenalkan dengan peranan ANALIS dan kepentingan sains analisis dalam kehidupan moden termasuklah dalam bidang kesihatan, makanan, alam sekitar dan industri.

Secara keseluruhannya, program ini sewajarnya menjadi pemangkin kepada peningkatan minat pelajar terhadap STEM, sekali gus melahirkan lebih banyak generasi saintis muda yang celik sains, berfikiran analitikal dan peka terhadap isu kelestarian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi