Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Kelab Keluarga Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (KKKPKNP) menggalakkan penyertaan aktif dalam sukan dalaman, khususnya dalam kalangan ahlinya sebagai alternatif sihat berikutan cuaca panas berpanjangan yang melanda beberapa negeri di negara ini.

Presidennya, Encik Rahmat Hussin berkata, Kejohanan Karom Tertutup KKKPKNP 2026 yang berlangsung di Dewan Seminar EDC, Kompleks Teruntum dianjurkan bagi membuka peluang kepada lebih banyak ahli KKKPKNP menyertai aktiviti sukan dalaman yang tidak memerlukan penggunaan tenaga maksimum, sebaliknya menuntut kecerdasan berfikir dan strategi.

Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran kejohanan seumpama ini mampu menyemarakkan semangat kesukanan, mengeratkan silaturahim serta mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan peserta.
Sementara itu, Ketua Biro Sukan KKKPKNP, Encik Hairil Izzat Abd Razak memaklumkan bahawa kejohanan tersebut turut menjadi platform persediaan dalam pemilihan atlet karom yang akan mewakili organisasi ke temasya sukan antara agensi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri pada Julai 2026.
Menurut beliau, kejohanan itu juga memberikan pendedahan dan pengalaman suasana sebenar pertandingan kepada atlet sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Gabungan Agensi-agensi Amanah Bumiputera dan Perusahaan-perusahaan Awam Malaysia (GEMAPUTERA) 2026 yang dijadualkan berlangsung di Sarawak.
Bagi kategori lelaki, johan dimenangi oleh Encik Nik Mohd Khasyimi Nik Kamarulzaman, diikuti oleh Encik Mohammad Nur Salam Mohd Nazri sebagai naib johan dan Encik Mohd Rozaimie Mohamad @ Abdul Rahman memperoleh tempat ketiga.

Kategori wanita pula menyaksikan Puan Roos Liza Mat Rameli muncul sebagai johan, Puan Faridah Mohamed Sidek mendapat naib johan dan tempat ketiga menjadi milik Puan Nur Afiqah Yusof.

Turut hadir ialah Encik Issma Rohaizad Abdul Wahab selaku Naib Presiden 1 KKKPKNP bersama-sama ahli KKKPKNP.